Walaupun dengan AI, kadang-kala ada individu yang masih mengucapkan terima kasih atau bersopan santun sewaktu menanyakan soalan. Namun tahukah, anda bahawa tindakan tersebut sebenarnya telah menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian besar?

Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, baru-baru ini menyatakan bahawa tindakan pengguna yang sopan dengan mengucapkan ‘please’ (sila) dan ‘thank you’ (terima kasih) kepada ChatGPT menyebabkan syarikat itu menanggung kos “puluhan juta dolar” dalam bentuk penggunaan elektrik.

Beliau memberikan respons ini kepada seorang pengguna di platform X (dahulunya Twitter) yang bertanya mengenai jumlah wang yang mungkin telah dibelanjakan oleh OpenAI akibat kesopanan pengguna terhadap model AI mereka. Altman menjawab dengan nada berseloroh, “Puluhan juta dolar yang dibelanjakan dengan baik — anda tidak pernah tahu.”

Walaupun Altman mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang tidak perlu, beberapa arkitek AI percaya bahawa bahasa yang sopan dapat meningkatkan respons yang dihasilkan oleh AI. Malah, satu kajian pada tahun 2024 mendapati bahawa majoriti responden Amerika Syarikat bersikap baik kepada chatbot, sama ada kerana sopan santun atau dengan harapan untuk mempengaruhi algoritma.

Setiap interaksi dengan model bahasa besar seperti ChatGPT memerlukan tenaga elektrik untuk memproses pertanyaan dan menghasilkan respons. Walaupun ucapan ‘please’ dan ‘thank you’ mungkin kelihatan kecil, dengan jutaan interaksi setiap hari, kos kumulatif tenaga boleh menjadi sangat besar.

Memerlukan lebih 2.9 watt-jam elektrik

Menurut laporan, setiap pertanyaan ChatGPT-4 memerlukan kira-kira 2.9 watt-jam elektrik, yang jauh lebih tinggi berbanding carian Google biasa. Dengan OpenAI mengendalikan lebih satu bilion pertanyaan setiap hari, penggunaan tenaga harian mereka adalah sangat tinggi.

Pusat data yang mengendalikan chatbot ini menyumbang sekitar 2% daripada jumlah penggunaan tenaga global, dan angka ini dijangka meningkat dengan pesat seiring dengan integrasi AI ke dalam kehidupan seharian.

 Satu usaha menjadikan interaksi AI lebih natural

Walaupun kosnya besar, Altman dilihat menerima perbelanjaan ini sebagai sebahagian daripada misi OpenAI untuk menjadikan interaksi AI terasa lebih semula jadi dan seperti manusia. Beberapa pakar juga berpendapat bahawa penggunaan bahasa yang sopan dalam interaksi dengan AI dapat menghasilkan output yang lebih hormat dan kolaboratif.

Sumber