Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dedahkan pengambilan dan ketagihan air ketum dikenal pasti punca ramai pelajar sekolah menjadi malas hadir ke sekolah dan gagal memberi tumpuan di dalam kelas.
Punca masalah itu dikenal pasti menerusi dapatan kajian yang dilakukan bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM), petik Harian Metro.
Hasil dapatan kajian itu juga mendapati bahawa terdapat hubungan signifikan di antara pengambilan air daun ketum dengan prestasi akademik, serta tingkah laku pelajar.
“Pengambilan air ketum menjadikan seseorang pelajar tidak produktif. Apabila pelajar meminum air ketum, tingkah laku pelajar juga berubah dan bertindak lebih agresif.
“Ia berlaku apabila remaja ini gagal mendapatkan sesuatu barang yang mengkhayalkan. Mereka seterusnya mengajak rakan terbabit sama meminum air ketum.
“Bermula meminum air daun ketum yang mengakibatkan perubahan tingkah laku, keadaan seterusnya menjadi lebih teruk apabila pelajar ini berusaha mendapatkan bahan lebih mengkhayalkan seperti dadah,” katanya.
Memetik laporan itu lagi, penyalahgunaan ketum atau bahan psikoaktif mitragynine memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria (khayal) yang boleh menyebabkan ketagihan.
Hasil kajian pada 2013 diperkukuhkan dengan kajian pada 2014 daripada universiti sama mendapati belia berusia 12 tahun hingga 29 tahun (belia muda) mengambil air ketum kerana mengikut rakan dan untuk mendapatkan keseronokan.
Sementara itu, belia berusia 30 tahun ke atas pula meminum ketum bagi tujuan menghilangkan ketagihan, mendapat keseronokan dan menghilangkan tekanan. Pada masa sama menjadi pendorong kepada belia muda untuk mengikuti mereka.