Bas kebiasaannya digunakan untuk membawa penumpang dalam jumlah yang ramai dari satu destinasi ke destinasi lain sebagai alternatif kepada penggunaan kereta atau van.
Namun, lain pula keadaannya buat bas bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dimana inisiatif daripada Bahagian Pengangkutan universiti tersebut cukup menarik untuk diperkatakan.
Baca Juga:
- Liga Futsal IPT 2024: UiTM, UniKL Pimpin Carta Liga
- Liga Futsal IPT 2024: UniKL Idam Kejuaraan Sulung Liga Premier
- UNM Ungguli Liga Futsal IPT Karnival Borneo 2024
Inisiatif yang diambil dalam menjadikan bas tersebut sebagai bilik persalinan dan bilik rawatan buat para pemain ternyata wajar mendapat pujian ramai.
Hal ini kerana ia amat memudahkan para pemain mereka yang sedang menghadapi saingan fasa 3 Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu.
Langkah proaktif itu dilihat dapat mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti di UniSZA kerana terdapat pasukan lain turut berada di lokasi pertandingan dalam masa yang sama.
Selain itu, ia turut memberikan lebih keselesaan kepada para pemain untuk menyiapkan diri sebelum perlawanan serta memudahkan barisan kejurulatihan bagi mengadakan ‘Team Talk’ tanpa sebarang gangguan luar.
Keadaan tersebut nyata mampu untuk menjelmakan aura positif dalam kalangan pemain sebelum turun ke gelanggang pertandingan.
Ia jelas merupakan inisiatif terpuji serta menarik daripada pihak pengurusan UPSI dan ia wajar diikuti oleh pasukan lain sekiranya berkemampuan.
Skuad lelaki dan wanita UPSI pada ketika ini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kempen 2024 di kedudukan podium.
Hal ini kerana kedua-dua pasukan menduduki tangga ketiga dengan aksi hanya berbaki dua perlawanan buat pasukan lelaki manakala wanita hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi.