Rokok secara umumnya tidak diharamkan (dilarang sepenuhnya) di Malaysia, tetapi penggunaannya sangat dikawal ketat, dan terdapat cubaan untuk mengharamkan produk tersebut bagi generasi masa hadapan.

Bagaimanapun, seorang wanita dari negara seberang mengeluh tentang kesukaran mendapatkan rokok sewaktu berada di Malaysia.

Sehinggakan dia menyoal jika kalau terdapat keperluan mempamerkan terlebih dahulu kad pengenalan atau pasport untuk pembelian sekaligus memberi gambaran betapa ketatnya undang-undang tembakaui di Malaysia.

“”Saya sekarang berada di Malaysia, dan berdepan kesukaran untuk membeli rokok; saya perlu menunjukkan kad pengenalan Malaysia atau pasport.

“Adakah kawalan terhadap produk merokok di Malaysia sangat ketat?”, tulisnya dalam masa berharap mendapatkannya kerana sudah dua hari tidak dapat lepas ‘gian’.

Sebahagian warganet langsung mendedahkan bermula tahun ini telah wujud peraturan baharu yang ketat terhadap sebarang premis tidak dibenarkan menjual rokok secara terbuka di tempat awam.

Ini selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) secara khususnya telah mewartakan larangan pameran produk merokok di kaunter jualan secara terbuka.

Untuk makluman, jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM300,000 serta hukuman penjara.

“Undang-undang baharu. Di sesetengah tempat, anda tidak boleh membeli rokok elektronik (e-cig/vape) secara terbuka juga,” ujar seorang pengguna.

Bagaimanapun, ada yang mendakwa mereka masih boleh membelinya tanpa perlu mengemukakan sebarang kad pengenalan atau pasport di sesetengah kawasan.

Dalam pada itu, sebahagian netizen percaya sudah sampai waktunya untuk wanita itu untuk berubah ke arah yang lebih baik dengan meninggalkan perbuatan negatif tersebut.