Dalam satu sidang media yang berlangsung pagi tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata dua lelaki Nepal yang tular di media sosial sosial sebelum ini kerana didakwa hendak menculik seorang kanak-kanak adalah tidak benar.

Berdasarkan siasatan yang telah dibuat oleh pihak Polis Selangor, polis dapati kes tersebut bukan satu kes culik atau cubaan culik.

“Apa yang berlaku adalah saya sendiri telah melihat rakaman litar tertutup (CCTV), apabila penama pergi ke pasar raya yang bersama anak berumur setahun lebih dan ibunya, escalator yang naik ke tingkat atas tersebut rosak.

“Dalam masa yang sama, dua lelaki Nepal tersebut yang bekerja secara sah di Malaysia turut mahu naik ke atas.Mereka berdua bekerja di syarikat berhampiran dan merupakan pengunjung biasa pasar raya tersebut untuk beli barang keperluan.

“Jadi apabila mereka nampak kanak-kanak berkenaan seperti susah untuk naik ke atas, mereka telah membantu budak tersebut untuk naik ke tingkat atas tanpa memberitahu ibunya,” terang Datuk Hussein.

Walaupun diserahkan terus kepada ibunya, ibu kanak-kanak berkenaan beranggapan itu adalah satu cubaan culik. Polis juga mendapati tiada satu persiapan cubaan menculik, contohnya terdapat kenderaan yang menunggu di luar atau cubaan melarikan diri dibuat oleh dua warga negara asing tersebut.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook yang memaparkan dua lelaki warga asing yang memakai baju tanpa lengan dan seluar pendek ditahan berdekatan tangga bergerak sebuah pasar raya di Klang.