Waris kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 yang layak kini boleh membuat tuntutan bawah Skim Khairat Kematian (SKK) berpandukan garis panduan dan kelayakan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Bagi pemohon yang berstatus kahwin, keutamaan tuntutan diberikan sekiranya pasangan (warganegara) meninggal dunia, pasangan yang berdaftar dalam permohonan STR 2026, atau waris berdaftar sekiranya pemohon dan pasangan tidak dapat hadir ke Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan membawa dokumen sokongan tambahan.
Manakala bagi ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak menepati syarat STR serta warga emas tiada pasangan, tuntutan boleh dibuat oleh waris yang didaftarkan dalam permohonan STR 2026.
Hubungan waris yang disenaraikan sebagai layak menuntut merangkumi:
1. Pasangan
2. Ibu / Bapa
3. Anak (terdiri daripada anak kandung, anak tiri, atau anak angkat)
4. Adik-beradik
5. Cucu
Semasa hadir untuk membuat tuntutan SKK, waris diwajibkan membawa dokumen lengkap seperti Sijil Kematian Asal atau salinan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Dokumen Pengenalan Diri asal waris, serta dokumen sokongan tambahan sekiranya berkaitan.
Maklumat lanjut berkenaan soalan lazim (FAQ) tuntutan SKK boleh dicapai menerusi portal rasmi STR di bantuantunai.hasil.gov.my.