Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) mencipta kejutan apabila mendakwa ada bukti yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia yang dibunuh pada 2006 iaitu Altantuya Shaariibuu.
Beliau membuat pendedahan tersebut menerusi podcast Keluar Sekejap episod 70 kepada tetamu undangan yang juga merupakan bekas peguam Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Baca Juga:
- Astro Didenda Setelah Tayangkan Dokumentari Kes Pembunuhan Altantuya Lima Tahun Lalu
- Sirul Dakwa Jadi Kambing Hitam, Akui Terima RM1 Juta Untuk ‘Tutup Mulut’
- Lihat Najib Razak Bengang Apabila Ditanya Tentang Kes Altantuya
“Tan Sri Shafee, saya ada bukti Datuk Seri Najib kenal Altantuya. Ini adalah pendedahan eksklusif dan mengejutkan dunia,” katanya sambil menunjuk gambar Najib bersarapan bersama Altantuya dan penganalisis politik, Razak Baginda.
Bagaimanapun, pendedahan KJ dibalas dengan senyuman oleh Shafee dan menjelaskan gambar tersebut sebenarnya palsu dan telah disunting menerusi photoshop.
“Sebenarnya gambar ini, semasa dikeluarkan, Datuk Seri Najib terkejut sebab memang dia tak tahu langsung. Tak pernah jumpa, tak pernah dengar nama Altantuya sebelum Altantuya meninggal dunia.
“Jadi saya tunjuk gambar ini. Bila saya tunjuk gambar ini, dia kata this clearly, it is doctored (disunting). Dan kemudian kita tahu, Tian Chua, ahli parlimen satu ketika telah pun membuat pengakuan bahawa beliau telah doctored (sunting), photoshop dokumen ini dan letak gambar Datuk Seri Najib.
“Tapi dia dikatakan hanya sebagai joke (lawak jenaka),” jelas Shafee.
Walaupun gambar tersebut adalah mengarut, KJ lantas mengatakan Najib masih mempunyai kaitan dengan Altantuya kerana terlibat dalam projek kapal selam ketika menjawat jawatan Menteri Pertahanan.
“Masih lagi ada dakwaan bahawa Altantuya terlibat dalam projek kapal selam. Razak (Baginda) ketika itu terlibat dalam perolehan kapal selam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Syarikat beliau adalah syarikat yang juga terlibat dalam perolehan ini. Dan Altantuya ini dikatakan sebagai seorang Consultant, seorang pakar, pakar bahasa. Dan disitulah Datuk Seri Najib waktu itu sebagai Menteri Pertahanan kenal Altantuya,” kata KJ.
Namun begitu, Shafee tetap menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan Altantuya tidak pernah masuk Perancis untuk terlibat dalam rundingan projek kapal selam.
“Cerita ini banyak yang karut. Nasib baik secara kebetulan, saya juga bertindak sebagai peguam pihak berkenaan dengan Scorpene (kapal selam) punya claim.
“Dia ada dua syarikat. Tapi yang relevan adalah syarikat di Perancis. Kita dapat tahu bahawa dalam rekod di Perancis, Altantuya tidak pernah masuk Perancis langsung.
“Jadi, cerita yang mengatakan Altantuya keluar masuk, keluar masuk, buat interpretation, buat konsultasi, semuanya karut. Dan lagi satu saya nak beritahu kedua-dua syarikat di Perancis ini CEO-nya adalah seorang Mat Salleh, orang Inggeris ,” tegas Shafee.
Jawapan Shafee itu sekaligus memberi gambaran Najib tiada kaitan dalam pembunuhan Altantuya dan tiada penjelasan mengenai siapa mengarahkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri untuk membunuh perempuan tersebut.