Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mengingatkan pengurusan tertinggi KL City FC agar melepaskan pemilikan kelab tersebut sekiranya sudah tidak lagi mampu untuk menyelamatkan pasukan.
KL City merupakan salah satu daripada pasukan yang mengalami masalah kewangan serta tunggakan gaji yang menyebabkan masa depan mereka dalam Liga Super masih belum dapat dipastikan.
Baca Juga:
- Khalid Samad: Permainan Politik Sebabkan KL City Kucar-Kacir
- Khalid Samad Letak Jawatan Sebagai Presiden KLFA
- DBKL Tiada Obligasi Untuk Salur Dana Kepada KLFA, KL City
Menurut sumber laporan Harian Metro sebelum ini, KL City masih memiliki tunggakan gaji berjumlah RM15 juta.
Malah Presiden KLFA dan juga Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar pernah mendedahkan bahawa skuad Warga Kota itu berkemungkinan akan menarik diri daripada persaingan Liga Super ekoran masalah kewangan.
Kenyataan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh KL City yang menganggap ia hanyalah satu pandangan peribadi Syed Yazid dan mereka mahu terus berada di pentas tertinggi bola sepak negara.
Saranan Daripada Khalid Samad
“Dicadangkan jual pasukan bola sepak KL City dengan seberapa segera, ada pihak yang telah membayar RM1.53 juta sebagai deposit.”
“Maka teruskan, lepaskan tanggungan yang rasa tak mampu untuk ditanggung,” ujar Khalid Samad menurut kenyataannya menurut sumber laporan Bernama.
“Jangan kerana tidak mampu, kamu bawa KL City ke Liga Premier atau keluar daripada Liga Super. Paling kurang beri pada pihak yang sudah sanggup nak beli.”
“Lepaskan, biar orang lain yang mampu, sanggup dan bercita-cita untuk kekalkan KL City di peringkat tertinggi dalam liga negara kita,” tambah beliau lagi.