Kuala Lumpur City (KL City) mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila mengumumkan pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan sebagai rekrut baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Keputusan yang dibuat oleh pemain berusia 35 tahun itu tidak dijangka oleh peminat kerana beliau menyertai pasukan yang terkenal dengan masalah tunggakan gaji sejak musim lepas.

Baca Juga:

KL City merupakan pasukan kelima Liga Malaysia yang disertai pemain itu selain Sabah, Kelantan, Perak dan Selangor pada musim lepas.

Sepanjang berkhidmat dengan Selangor FC, Brendan telah membuat 80 penampilan dan menjaringkan 14 gol dan 12 bantuan jaringan.

Tidak dilupakan, bantuan gol ke-12 dan terakhir beliau membantu Selangor FC menumpaskan seteru, Kedah Darul Aman FC untuk mengesahkan tempat kedua Liga Super 2023 dan juga memastikan Gergasi Merah layak ke Liga Juara-Juara AFC 2.

Beliau juga turut beraksi ketika saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada bulan lalu dan masih dipanggil berkhidmat dengan skuad Harimau Malaya sehingga kini.

Pengalaman luas di pentas antarabangsa yang dimiliki oleh pemain tengah bertahan itu bakal ditagih KL City untuk membantu mereka mencapai sasaran kedudukan lima teratas Liga Super.