Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan perpisahan bersama ketua pasukan, Brendan Gan selepas empat musim bersama. Pemain tengah itu tidak akan bersama skuad Gergasi Merah untuk musim 2024.

Pengumuman tersebut turut mengejutkan penyokong setia Selangor dan mereka menyifatkan Brendan merupakan seorang pejuang yang telah banyak membantu pasukan.

Baca Juga:

Brendan menyertai Selangor pada musim 2019 dan juga merupakan ‘marquee signing’ buat kelab tersebut.

Walaupun pernah didiagnos menghidap kanser testis pada Julai 2021 namun Brendan kembali bangkit daripada kanser dan mengetuai Selangor FC dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak United dengan penuh bersemangat.

Lebih manis lagi, Brendan cuma memerlukan 7 minit sahaja untuk menjaringkan gol pembukaan sekaligus menyuntik semangat skuad Gergasi Merah untuk menang besar 7-0 pada perlawanan tersebut.

Kebangkitan semula karier Brendan bukan setakat itu sahaja, prestasi baik dan konsisten yang dipamerkan oleh beliau telah berjaya menambat hati Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon yang mula memanggil tonggak tengah itu untuk kembali bersama skuad Harimau Malaya.

Brendan telah tampil dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa dan menjadi salah seorang pemain yang membantu Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Baru-baru ini, beliau telah diturunkan sebagai kesebelasan utama Malaysia ketika menentang Korea Republik yang menyaksikan Harimau Malaya berjaya mengikat Gergasi Asia itu dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E kejohanan tersebut di Qatar.

Setakat ini, beliau telah beraksi dalam 35 perlawanan, menjaringkan satu gol dan mencetak tiga bantuan gol untuk skuad kebangsaan.

Sepanjang khidmatnya bersama Selangor FC, Brendan telah membuat sebanyak 80 penampilan, di mana 75 daripadanya beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau juga pemilik lilitan ketua pasukan hampir kesemua perlawanan.

Beliau juga telah menyumbang 14 jaringan serta 12 bantuan gol sepanjang beraksi sebagai pemain tengah untuk empat musim bersama pasukan.