Impian pertahanan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih belum menjadi kenyataan apabila status naturalisasinya masih belum disahkan.

Kekeliruan mengenai status pemain kelahiran Australia berusia 32 tahun itu timbul selepas sebelum ini terdapat laporan mendakwa Gallifuoco sudah mendapat status naturalisasi dan didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam Competition Management System (CMS) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun, semakan terbaharu mendapati Gallifuoco masih ditandakan dengan simbol A sebagai pemain import kuota Asia. Status tersebut turut kelihatan ketika beliau diturunkan dalam kesebelasan utama KL City ketika menentang Kuching City FC, semalam.

Giancarlo Gallifuoco Kecewa Dan Keliru Status Pemain Naturalisasinya

Lebih menarik, Gallifuoco sendiri mengakui dia masih belum menerima sebarang kepastian mengenai perkembangan permohonan naturalisasinya.

Menurutnya, berita mengenai status tersebut turut menyebabkan beliau menerima ucapan tahniah daripada ahli keluarga walaupun dirinya sendiri tidak mengetahui perkara sebenar.

“Ini sangat mengelirukan, malah saya sendiri menerima mesej daripada ibu mentua mengucapkan tahniah. Saya sebenarnya tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Semua orang tahu betapa saya sayangkan negara ini dan mahu tinggal di sini selama-lamanya. Bermain untuk pasukan kebangsaan adalah impian saya.

“Saya berdoa setiap hari supaya mendapat panggilan untuk menyelesaikan segala proses. Saya sangat teruja mengenainya, tetapi buat masa ini saya tidak tahu apa-apa,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Gallifuoco sebelum ini menyertai KL City pada 2021 dan kini sudah memenuhi tempoh lima tahun beraksi di Malaysia, sekali gus menjadikannya antara pemain yang berpeluang dipertimbangkan untuk proses naturalisasi.

Pemain itu juga tidak menyembunyikan impiannya untuk menyertai Harimau Malaya dalam kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada September dan Oktober ini.

“Impian saya untuk terbabit dalam kejohanan pada September dan Oktober. Bermain bersama pemain terbaik negara adalah impian mana-mana pemain bola sepak.

“Saya berdoa supaya ia menjadi kenyataan, tetapi buat masa ini saya benar-benar tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Buat masa ini, Gallifuoco hanya mampu menunggu perkembangan selanjutnya berhubung status permohonannya.

Jika proses naturalisasi itu disahkan dan segala syarat dipenuhi, pengalaman lima tahunnya beraksi dalam bola sepak tempatan berpotensi membuka jalan untuk Gallifuoco merealisasikan impian terbesar dalam kariernya iaitu mewakili Harimau Malaya.