Kieran Trippier sedang mempertimbangkan semula masa depannya bersama Wolverhampton Wanderers hanya selepas dua hari bersetuju menyertai kelab yang bakal beraksi dalam saingan Championship itu.
Bek kanan berpengalaman tersebut dilaporkan terkejut dengan berita pemecatan Rob Edwards. Jurulatih tersebut memainkan peranan besar dalam meyakinkan Trippier untuk berhijrah ke Molineux.
Menurut sumber laporan Goal, Trippier memilih untuk menyertai Wolverhampton Wanderers selepas tertarik dengan visi yang dibentangkan oleh ketua jurulatih berkenaan.
Namun, projek tersebut kini berada dalam keadaan tidak menentu susulan pemergian pengurus itu daripada kelab.
Kieran Trippier dimaklumkan mengenai pemecatan Rob Edwards oleh seseorang di luar kelab pada pagi Khamis.
Wolves Buat Hal, Kieran Trippier Pening
Selepas menyertai Wolverhampton Wanderers secara perpindahan percuma susulan pemergiannya dari Newcastle United, Trippier kini sedang menilai semula sama ada beliau masih mahu menjadi sebahagian daripada perancangan Wolves di bawah pengurus yang berbeza.
Rob Edwards dan barisan kejurulatihannya dilaporkan hanya dimaklumkan mengenai pemecatan mereka lewat malam Rabu, dan mereka tidak berpuas hati dengan cara berita tersebut disampaikan.
Bekas pengendali Luton Town itu sebelum ini sedang membuat persiapan menghadapi musim baharu Championship bersama stafnya serta memainkan peranan penting dalam perancangan pengambilan pemain baharu.
Situasi tersebut turut menimbulkan rasa kecewa kepada Kieran Trippier, yang dilaporkan berasa dikecewakan dengan perubahan mengejut itu.
Malah, pemain pertahanan berpengalaman tersebut dikatakan sanggup membatalkan percutiannya bagi menjalani pemeriksaan perubatan dan memuktamadkan perpindahannya ke Wolverhampton Wanderers awal minggu ini.