Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyatakan kilang peluru pertama Malaysia, Ketech Asia Sdn Bhd terletak di Kampung Kechau Tui, Padang Tengku bakal diisi dengan 70 peratus tenaga kerja anak tempatan.

Memetik hantaran Facebook beliau, kilang tersebut menyediakan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan secara berfasa apabila sudah siap beroperasi sepenuhnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata dalam fasa pertama operasi, seramai 15 lulusan kejuruteraan anak tempatan daerah ini telah dihantar menjalani kursus di Turkiye dalam bidang pembuatan peralatan pertahanan oleh pengurusan kilang.

Jurutera terlatih berkenaan akan menjadi aset penting yang bakal melatih pekerja baharu yang juga anak tempatan secara profesional membabitkan aspek perkilangan, iaitu penggunaan peralatan, penyelenggaraan, pengurusan dan pengeluaran.

“Saya ingatkan pihak syarikat utamakan anak tempatan dahulu untuk diambil bekerja, lepas itu baru buka kepada tenaga luar dan mereka berjanji 70 peratus pekerja di sini adalah anak tempatan,” katanya selepas melawat kilang itu di Kechau Tui, kira-kira 35 kilometer dari sini, hari ini.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata peluang pekerjaan masih dibuka dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, teknikal, pengurus pengeluaran, pengurusan pejabat, kerani dan keselamatan.

Menurut hantaran Facebook Abdul Rahman lagi, beliau sudah lama mahu jadikan Lipis sebagai Bandar Pertahanan sejak tahun 2020 lagi. Kilang peluru pertama di Malaysia itu bakal jadi langkah pertamanya.

Memetik Berita Harian, kilang itu dibina dalam tiga fasa yang mana setiap fasa membabitkan peruntukan RM400 juta dan keseluruhannya projek itu menelan peruntukan RM1.2 bilion.

“Kilang peluru di tapak seluas 40.5 hektar dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini bakal mengisi sasaran usaha mewujudkan Bandar Pertahanan (Defence City).

“Sekarang kita import seratus peratus peluru, jadi dengan adanya kilang ini kita boleh mengeluarkan peluru untuk kegunaan sendiri,” katanya.