PROTON menutup tirai operasi di kilang Shah Alam selepas hampir 40 tahun dan kini memindahkan sepenuhnya pengeluaran ke Tanjong Malim. Seramai 1,400 kakitangan pengeluaran terakhir telah berpindah ke fasiliti baharu di Automotive High Tech Valley (AHTV), Perak.
Pada 30 September 2025, unit terakhir Proton Saga dikeluarkan dari talian pengeluaran Shah Alam, menandakan peralihan rasmi ke kilang moden di Tanjong Malim.
Baca Juga:
- Proton Tanjung Malim Bakal Dilengkapi Kereta Api Angkut Kenderaan EV

- Kilang EV PROTON Hampir Siap, Ini 10 Fakta Menarik

- Mudahkan Pengguna Lebuh Raya, Setiap Proton X50 Baharu Dilengkapi Tag RFID TNG

Kini, semua model termasuk Saga, Persona, SUV siri-X dan sedan S70 dihasilkan di hab pembuatan berteknologi tinggi tersebut, yang juga menempatkan kilang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama PROTON.

Dengan menyatukan operasi pemasangan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pembuatan di satu lokasi, PROTON menjadikan fasiliti Tanjong Malim sebagai pusat bertaraf dunia dalam Automotive High-Tech Valley (AHTV), yang diiktiraf sebagai hab automotif utama di Asia Tenggara.
Kilang ini merangkumi lima bahagian utama — pemesinan enjin dan transmisi, stamping, pemasangan badan, pengecatan, serta pemasangan akhir — bagi memastikan proses pengeluaran model seperti Proton X-Series, S70 dan Saga berjalan dengan lancar dan efisien.
Proton Tanjong Malim turut beroperasi berasaskan konsep Industri 4.0, dengan dilengkapi mesin press mekanikal terbesar di Malaysia dalam bahagian stamping serta barisan pemasangan enjin baharu — yang pertama di luar China untuk menghasilkan enjin 1.5 TGDi.

Dengan kapasiti pengeluaran sehingga 250,000 unit setahun di fasiliti baharunya, PROTON terus mengukuhkan rangkaian vendor tempatan melalui peningkatan penggunaan komponen buatan Malaysia. Pendekatan ini meletakkan kilang Tanjong Malim sebagai hab utama eksport kenderaan pacuan kanan (right-hand drive) untuk Kumpulan Geely di Asia Tenggara, selain menempatkan kilang pemasangan Kenderaan Elektrik (EV) pertama di Malaysia.
Langkah ini bukan sahaja memastikan rantaian bekalan yang kukuh dan mampan, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekosistem pembekal tempatan serta membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang perindustrian dan perkhidmatan teknikal EV.
“Hari ini merupakan detik bersejarah bagi PROTON apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim. Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama puluhan tahun, PROTON kini bersedia melangkah ke hadapan dan menjadikan kilang ini sebagai hab utama bagi generasi baharu kenderaan Proton,” kata Ainol Azmil, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Holdings Berhad.