Musim 2024 menjadi musim terbaik bagi bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dimana beliau tersenarai bagi anugerah berprestij dalam saingan Liga Korea.

Pan-gon membantu Ulsan memenangi saingan Liga Korea musim ini yang mana kelab itu muncul sebagai pemenang dalam tiga musim kebelakangan ini.

Baca Juga:

Pencapaian ini membolehkan Pan-gon tersenarai bersama dua jurulatih lain iaitu dari Gangwon FC, Yoon Jung-hwan dan pengendali Gimcheon Sangmu, Chung Jung-yong.

Ulsan akan berentap dalam perlawanan akhir Piala FA Korea menentang Pohang Steelers pada 30 November ini dan sekiranya muncul sebagai pemenang, maka peluang Pan-gon untuk menjadi jurulatih terbaik musim ini semakin cerah.

Di bawah bimbingan Kim Pan-gon, Ulsan hanya tewas dalam tiga perlawanan sepanjang musim sekaligus membolehkan mereka muncul sebagai juara untuk tiga musim berturut-turut.

Sebelum ini, Pan-gon pernah meraih Jurulatih Terbaik Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) pada 2010. Kejayaan itu diraih selepas membantu South China muncul juara Hong Kong First Division musim 2009/10.

Ulsan bukan satu nama asing bagi Pan-gon dimana beliau pernah beraksi sebagai pemain pada tahun 1992 hingga 1996 sebelum berhijrah ke Hong Kong menyertai Rangers pada 2004.

Selain bersama Ulsan, pengendali berusia 55 tahun itu juga memiliki pengalaman melatih dua kelab Korea, Busan I’Park dan Gyeongnam FC dan kemudian mendapat tawaran menjadi pengurus South China AA (Hong Kong), skuad B-23 Hong Kong dan skuad kebangsaan Hong Kong.

Pemergian beliau dari skuad Harimau Malaya masih menjadi perbincangan yang mana peminat masih tertanya-tanya mengenai sebab utama beliau meninggalkan Malaysia.

Sebagai rekod, antara pencapaian Pan-gon adalah berjaya melonjakkan skuad kebangsaan sehingga menghuni ranking ke-130 dunia selain berjaya membawa Malaysia mara ke Piala Asia 2023 secara merit serta naib juara Pestabola Merdeka 2023.