Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang-sik bakal membimbing skuad ASEAN All Stars yang bakal turun menentang Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
Perkara ini diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dimana badan itu memberi sebab mengapa Sang-sik dipilih sebagai pengendali pasukan.
Baca Juga:
- Ruben Amorim Pertahan Keputusan Kelab Beraksi Di Malaysia
- Asean All Stars: Barisan Pemain Yang Mungkin Dipanggil Berdepan Man United
- Manchester United Bakal Tinggalkan Old Trafford, Pindah Ke Stadium Kapasiti 100,000
Kim Sang-sik Berbesar Hati

“Sememangnya perlawanan ini bukan sekadar pertarungan bola sepak sebaliknya ia turut melambangkan kepimpinan, kebanggaan serantau, dan perpaduan menerusi sukan.
“Kepimpinan Kim terbukti dibina atas nama integriti, disiplin dan visi. Lebih- lebih lagi selepas berjaya membimbing Vietnam merangkul kejuaraan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 menerusi kempen tanpa kalah sepanjang kejohanan terbabit.
“Justeru, dengan rekod kecemerlangan yang baik selain turut menerima keyakinan utuh dalam seluruh komuniti bola sepak, Kim seterusnya dipilih sebagai calon terbaik mengemudi ASEAN All-Stars,” tulis AFF.
Dalam masa yang sama Kim Sang-sik menegaskan beliau berbesar hati apabila diberi peluang untuk mengendalikan pasukan menentang salah satu kelab ternama di dunia.

“Ia satu penghormatan untuk memimpin pemain terbaik dari seluruh ASEAN dalam perlawanan sebesar ini,” kata Sang-sik.
“Kami bukan sekadar mewakili negara kami—kami menunjukkan kepada dunia kebanggaan, semangat, dan kekuatan rantau kami.”
Selepas 16 tahun, Man United kembali dalam satu pertarungan epik yang dijangka menarik puluhan ribu peminat pelbagai bangsa dan budaya sekaligus mempamerkan pembangunan bola sepak yang semakin meningkat di rantau ASEAN.
Pasukan ASEAN All-Stars bakal menampilkan pilihan pemain terbaik dari kesemua 12 ahli gabungan AFF. Pemilihan ini mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan kolektif bola sepak Asia Tenggara.
Dengan sokongan padu daripada ProEvents, FAM dan penaja utama Maybank, Maybank Challenge Cup ingin tampil dengan misi menjadi salah satu acara sukan paling bermakna dan diingati sepanjang tahun ini.