Kisah seorang pelajar cemerlang yang menggunakan karung guni untuk mengisi barangan yang dibawa bagi mendaftar masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini, mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina menerusi hantaran di Facebook rasminya mengakui kisah itu telah menyentuh hatinya kerana beliau turut menghantar anak sulungnya ke universiti.

Baca Juga:

Beliau turut menghubungi remaja berkenaan, Rafida Zaiddin dan menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian.

“Kisah beliau yang membawa guni untuk mengisi barang-barang ke asrama sewaktu pendaftaran ke UMS meragut emosi ramai pihak.

“Rafida, anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan.

“Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Cikgu Rahman dan rakan saya, Dr Abdullah Bade, pensyarah UMS yang telah melaporkan keadaan anakanda Rafida Zaiddin,” katanya.

Fadhlina dalam hantaran sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafida kerana telah memberi kesedaran bahawa perjuangan pendidikan manusiawi adalah kekuatan Malaysia.

“Fly high, stand tall Rafida. Insya-Allah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya.

“Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga Allah SWT memberkati pengajian anakanda Rafida,” katanya.