Dalam hubungan ahli keluarga, selalunya datuk, nenek dan cucu mempunyai satu pertalian yang cukup rapat.

Apa-apa sahaja yang cucu mahukan, pasti datuk dan nenek akan penuhi. Melebihi anak sendiri.

Baru-baru ini Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda kongsikan satu kisah yang meruntun jiwa netizen.

“Kunjungan kami ke kampung menemukan kami dengan Tokwan dan Toknek yang menceritakan kesengsaraan yang dialami mereka.

“Cucu yang berusia lingkungan 30an tidak mahu dengar cakap dan hisap dadah tak berhenti.

“2 hari yang lepas Tokwan pergi buat laporan dekat balai suruh datang tangkap. Tokwan ini cerdik, pakat elok-elok. Tapi dia kata mereka tak jaga pintu depan,” pelan mereka berjalan lancar apabila cucu Tokwan itu duduk di dalam bilik.

Menurut AADK, jika cucu itu berada di luar, memang sukar untuk menangkapnya kerana dia boleh berlari laju.

Tokwan dan Toknek berasa sangat sebak apabila melihat cucu sendiri ditangkap di hadapan matanya sendiri.

“Tapi dalam hati Tokwan dan Toknek ini ada sebaknya. Nampak di kelopak mata air mata Tokwan yang bertakung.

“Menahan diri daripada mengalir air mata. Siapa tidak sayang kerana membesarkan cucu ini sejak kecil.

“Entah di mana silapnya cucunya sehingga jadi begini. Segala kasih sayang dah diberikan. Tokwan berkata biarlah cucunya ditahan lama sikit,” Tokwan sendiri telah meminta pihak polis untuk menahan cucunya di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Di bawah akta itu mereka yang dituduh dibawah Seksyen 39C tidak boleh dijamin.

Sekiranya tertuduh didapati bersalah dibawah Seksyen 39C ADB, tertuduh boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya 5 tahun dan maksimum 7 tahun dan sebat tidak melebihi 3 kali.

Tokwan berbuat sedemikian kerana mahu cucunya sedar siapa Tokwan dan Toknek dalam hidup dia yang menjaga dan mengasuh sejak kecil.