Anak kepada bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong iaitu Shin Jae-won mahu melihat sejauh mana pasukan itu boleh pergi tanpa kelibat ayahnya.
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) memecat Tae-yong selepas lima tahun mengendalikan skuad senior Garuda dan juga b-23 Tahun.
Baca Juga:
- Louis van Gaal Bakal Ganti Shin Tae-yong
- RASMI: Shin Tae-Yong Dipecat
- ‘Bak Bumi Dan Langit’ – Media Indonesia Bandingkan Shin Tae-yong Dan Peter Cklamovski
Walaupun kempen Indonesia dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dilihat berada di landasan tepat dimana mereka kini berada di tangga ketiga dengan enam mata, ia masih belum cukup untuk melihat Tae-yong terus kekal membimbing pasukan.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang panjang dan matang serta evaluasi yang dilakukan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia dan Badan Tim Nasional secara menyeluruh terhadap persembahan pasukan dan tujuan jangka masa panjang yang ingin dicapai oleh pasukan bola sepak Indonesia.”
“PSSI berterima kasih dan menghargai semua sumbangan yang telah diberikan bagi pembangunan Tim Nasional Sepakbola Indonesia.”
“PSSI berharap yang terbaik bagi Shin Tae-yong untuk ke masa hadapan,” ujar PSSI.
Jae-won nyata kurang senang dengan keputusan ini dimana beliau menganggap PSSI tidak menghargai ayahnya yang telah memberikan komitmen penuh terhadap skuad kebangsaan negara itu.
“Mari kita tengok sejauh mana mereka boleh pergi tanpa kelibat ayah. Dia sudah memberikan segalanya bagi memastikan Indonesia mencapai tahap sekarang.
“Saya mempunyai banyak pendapat mengenai bagaimana PSSI melayan ayah saya. Namun saya akan berdiam diri,” katanya.
PSSI akan mengumumkan pengganti kepada Shin Tae-yong pada 12 Januari ini.
“Kita melihat perlunya ada pimpinan yang boleh menerapkan strategi yang tentu difahami oleh para pemain, komunikasi yang lebih baik, dan implementasi program yang lebih baik untuk Timnas Indonesia.
“Kita sudah mempunyai calon yang akan diumumkan pada 12 Januari nanti,” kata Ketua Umum PSSI, Erick Thohir.