Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa produk kosmetik, ZMY Magnetic Aura Night Cream mengandungi racun berjadual jenis Merkuri.

Pengarah NPRA, Rosilawati Ahmad menggesa supaya orang awam dapat mengelakkan daripada membeli serta menggunakan produk tersebut.

Baca Juga:

Sehubungan dengan itu, notifikasi produk ZMY Magnetic Aura Night Cream juga telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Merkuri dilarang berada di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Selain itu, bahan ini juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Antara kesan lain disebabkan oleh Merkuri ialah boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dalam perkembangan sama, pihak KKM turut menasihatkan kepada orang awam untuk menyemak terlebih dahulu status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.