Tular di media sosial apabila ada penjual yang mendakwa mereka menjual ‘produk kesihatan’ hydrogen inhaler yang didakwa dijual dengan harga RM6,999.00.

Sasaran utama mereka adalah warga emas yang mudah terpedaya dengan produk kesihatan.

Dan perkara itu segera menarik perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan bahawa setiap produk kesihatan haruslah mendapat kelulusan KKM.

Dalam kenyataannya, KKM berkata: “Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum isu yang diketengahkan mengenai aktiviti penjualan dan promosi alat/peranti yang digelar “hydrogen inhaler” atau mesin hidrogen serta dakwaan berkaitan.

“KKM ingin menegaskan bahawa sebarang peranti perubatan yang dijual atau diguna di Malaysia mesti berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

“Penjualan, pengedaran atau pengiklanan peranti yang tidak berdaftar adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Orang ramai, khususnya warga emas, dinasihatkan agar:

1. Tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang menjanjikan kesan rawatan atau manfaat kesihatan yang belum dibuktikan secara saintifik dan belum diluluskan oleh pihak berkuasa.

2. Menyemak status pendaftaran mana-mana peranti perubatan melalui laman sesawang rasmi MDA sebelum membuat pembelian.

3. Berwaspada terhadap aktiviti jualan yang menyasarkan golongan berumur dan melibatkan tekanan atau rayuan emosi.

“Sebarang aduan mengenai penjualan produk atau peranti tidak berdaftar, atau iklan yang mengelirukan, boleh dikemukakan kepada KKM atau MDA untuk siasatan lanjut.

“KKM menggesa orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan berdaftar bagi sebarang isu kesihatan.