Pada hari ini tidak dapat dinafikan lagi kemampuan golongan selebriti seperti pelakon, penyanyi, pengacara, golongan profesional mahupun instafamous dalam mempengaruhi cara hidup masyarakat lebih-lebih lagi golongan peminat. Jumlah followers dan golongan sasar selebriti yang ramai menyebabkan mereka dipilih oleh pengeluar suplemen atau produk kesihatan sebagai jurucakap untuk tujuan promosi.
Trend yang semakin menjadi-jadi ini kadangkala mendatangkan kesan buruk kepada pengguna. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui cawangan iklan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah mengeluarkan panduan untuk golongan selebriti dalam mengiklankan produk kesihatan.
Tujuan penyediaan garis panduan ini adalah untuk memberi panduan kepada golongan selebriti sekaligus melindungi kesihatan awam dengan memberi galakkan penggunaan ubat-ubat selamat.
Bukan itu sahaja, panduan ini bertujuan untuk mengawal selia kandungan pengiklanan perubatan. Panduan ini juga mengandungi senarai penyakit yang dilarang untuk diiklankan bagi tujuan rawatan, pencegahan atau diagnosis. Panduan ini boleh disemak di laman web Bahagian Penguakuasaan Farmasi.