KL City berwaspada dengan serangan bertali arus yang akan dilancarkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan perlu perkuatkan benteng pertahanan dalam aksi pertama suku akhir Unifi Piala Malaysia yang akan berlangsung pada malam ini.

Pengendali pasukan, Miroslav Kuljanac menyifatkan bertemu lawan seperti JDT memerlukan strategi terbaik terutamanya daripada aspek bertahan bagi mengelakkan mereka bolos lebih awal.

Baca Juga:

Selepas tewas 0-3 kepada lawan sama di pentas Liga Super tempoh hari, Kuljanac tidak menafikan rembatan jauh yang sering kali dilakukan oleh JDT antara yang sukar untuk dielak dan perlu bekerja lebih keras bagi memastikan bekalan selesa dapat dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi kedua nanti.

“Saya harap pemain dapat bertahan dengan lebih baik sebab biasanya apabila berdepan JDT, memang memaksa kita untuk lebih bertahan.

“Dan ditambah dengan situasi yang tak dapat dielakkan seperti contoh tendangan dari jarak jauh dari JDT, kadang-kadang itu yang menghukum pasukan kita walaupun kita sudah berusaha untuk mengawal dalam kotak penalti.

“Apa pun, saya masih memikirkan kesebelasan terbaik untuk malam esok disebabkan dua pemain kita bersama pasukan kebangsaan, Giancarlo (Gallifuoco) digantung perlawanan dan Nick Swirad pula cedera”, jelasnya.

KL City mara ke peringkat suku akhir selepas mengetepikan cabaran Kedah Darul Aman dalam aksi peringkat 16 pasukan terakhir dengan keputusan agregat 6-4.

Bagi JDT pula, mereka menewaskan wakil dari saingan Liga A1 Semi Pro iaitu KL Rovers dengan keputusan agregat 9-0.

Skuad kendalian Hector Bidoglio merupakan juara bertahan dalam saingan Piala Malaysia manakala KL City pernah muncul juara pada edisi 2021.