Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor berkongsi struktur baharu yang bakal digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Melalui perkongsian di laman Instagram Story miliknya, Tunku Ismail berkongsi struktur yang mana ada beberapa jawatan seperti Ketua Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi dan Ketua Prestasi.
Selain itu, jawatan lain termasuk Penasihat Sukan dan Bola Sepak Antarabangsa serta penganalisis prestasi juga ada dalam struktur tersebut.
Dengan perkongsian ini, berkemungkinan besar Tunku Ismail akan kembali terlibat dalam menguruskan badan induk bola sepak negara itu.
Sebagai rekod, Tunku Mahkota Ismail pernah menjadi Presiden FAM bagi penggal 2017/2021 sebelum beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya setahun kemudian.
FAM terus menjadi sasaran kritikan oleh peminat bola sepak tanah air khususnya selepas ketua jurulatih dari Korea, Kim Pan-gon meletak jawatan dan kembali ke negaranya.
Pasukan negara gagal untuk mara diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 sekaligus terlepas peluang untuk mara ke temasya yang akan diadakan di Amerika Utara.
Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun hadapan.
Sebelum ini, skuad kendalian Pau Marti akan menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 yang bakal berlangsung pada Disember hingga Januari nanti.