Pusat bandar Kuala Lumpur bakal kembali meriah apabila KL Festival (KL Fest) berlangsung dari 6 hingga 31 Mei 2026, menampilkan pelbagai aktiviti seni, budaya dan komuniti di sekitar kawasan bersejarah ibu negara.

Selama 26 hari, festival ini akan menghidupkan semula bangunan warisan, jalanan dan ruang awam di pusat bandar dengan lebih 80 aturcara yang berlangsung di 25 lokasi berbeza, merangkumi lebih 700 jam program.

Menariknya, sekitar 90% acara adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai, menjadikannya mesra keluarga serta mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.

KL Fest dianjurkan oleh Think City bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Wilayah Persekutuan. Festival ini juga diadakan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia serta pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif Reka Bentuk oleh UNESCO.

Mengangkat Tema “Ingatan & Masa Depan”

Edisi 2026 tampil dengan tema “Ingatan & Masa Depan (Memory & Tomorrow)”, yang mengetengahkan bagaimana warisan dan cerita masa lalu boleh membentuk masa depan sesebuah bandar.

Melalui gabungan seni tradisional dan kontemporari, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai bentuk persembahan termasuk wayang kulit moden, tarian kontemporari, teater, seni pemasangan imersif serta tayangan wayang pacak, semuanya berlatarbelakangkan suasana unik ibu kota.

Tayangan filem hujung minggu bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia

Artskap ASWARA – bengkel seni, studio terbuka dan persembahan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan

Berkelah di Bawah Layar – pengalaman piknik sambil menonton wayang pacak di Dataran Merdeka

Planet KL – program pendidikan alam sekitar mengenai hidupan liar bandar melalui inisiatif River of Life

Aktiviti Mesra Keluarga & Belia

Selain persembahan seni, KL Fest turut menawarkan pelbagai program komuniti dan aktiviti mesra keluarga seperti:

Siapa Cacat? – produksi teater yang diterajui artis OKU di GMBB

Jogeton – joget lambak dan pertandingan tarian di Dataran Merdeka

Irama Pusaka – festival muzik warisan Malaysia selama tiga malam di Auditorium Bandaraya Kuala Lumpur

Warung Terang – transformasi lorong bandar melalui pencahayaan dan seni visual

The Wayang Women – persembahan wayang kulit oleh kumpulan wanita di Dataran Merdeka

Menurut Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed, KL Fest membuktikan bahawa budaya memainkan peranan penting dalam menghidupkan ruang awam dan memperkukuhkan hubungan masyarakat dengan bandar.

Sementara itu, Pengarah Seni KL Fest, June Tan, berkata festival ini memberi peluang kepada orang ramai melihat Kuala Lumpur dari perspektif baharu, sambil menghargai cerita dan sejarah yang membentuk identiti kota tersebut.

Sebagai rekod, KL Fest edisi pertama pada 2024 berjaya menarik lebih 140,000 pengunjung, mengaktifkan 26 lokasi dan membuka lebih 800 peluang pekerjaan dalam sektor kreatif.

Melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor korporat dan komuniti kreatif, KL Fest terus memperkukuhkan peranannya sebagai platform budaya yang menghidupkan semula pusat bandar Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini dan jadual program melalui laman rasmi KL Festival dan media sosial mereka.