Masa depan individu yang bakal membimbing Real Madrid terus mencetuskan perdebatan dengan pelbagai calon diperdebatkan sama ada sesuai atau tidak.
Namun menurut sumber laporan Marca, sudah ada pilihan yang jelas di bilik persalinan skuad Los Blancos.
Hal ini kerana Jose Mourinho yang turut dikaitkan untuk kembali semula ke Santiago Bernabeu dilihat tidak diminati oleh pemain.
Difahamkan barisan pemain melihat Jurgen Klopp lebih sesuai untuk menjadi pengganti kepada Alvaro Arbeloa yang bertindak sebagai pengurus interim pada ketika ini.
Hakikatnya, perdebatan ini bukan perkara kecil. Pihak pengurusan, yang diketuai oleh Florentino Perez, sedang menilai pelbagai alternatif selepas dua musim berturut-turut tanpa kejuaraan.
Sehubungan dengan itu, beberapa nama telah disebut. Mauricio Pochettino, Didier Deschamps, malah jurulatih pasukan kebangsaan Argentina, Lionel Scaloni.
Dilema Real Madrid Pilih Pengurus Baharu
Selain tiga nama tersebut, terdapat juga perbincangan mengenai kemungkinan kembalinya Mourinho ke Real Madrid, namun keseimbangan emosi dalam bilik persalinan nampaknya cenderung kepada Klopp, yang dianggap lebih mampu membina semula suasana pasukan dan berhubung baik dengan para pemain.
Hakikat itu diakui wartawan bola sepak Sepanyol, Alvaro Gonzalez:
“Mourinho adalah seperti bom jangka, dan dalam bilik persalinan di mana sesetengah pemain bersikap tertentu manakala yang lain pula mementingkan diri, seseorang seperti dia boleh masuk dan bertembung dengan mereka. Dan mereka tahu itu,” tambahnya, sambil menyebut Deschamps kerana hubungan baiknya dengan pemain-pemain Perancis.
Hakikatnya, bagi satu pasukan yang perlu mendapatkan semula keyakinan dan keserasian selepas musim yang tidak konsisten, gaya jurulatih dari Jerman itu yang lebih mudah didekati, memberi motivasi, dan kurang konfrontasi mungkin lebih sesuai, walaupun itu tidak menafikan potensi impak jurulatih dari Portugal tersebut.
“Florentino tahu bahawa Klopp adalah individu yang mampu membangkitkan keterujaan orang ramai, dan dia juga tahu bahawa jika Mourinho datang, selepas hanya tiga minggu, segala perhatian terhadap Mourinho akan membuatkan semua orang sedikit melupakan apa yang telah berlaku.”