Perdebatan mengenai keaslian dan pengaruh dalam komuniti hip-hop tanah air kembali membara di platform sosial Threads.

Baru-baru ini, sebuah hantaran pengguna Threads menyatakan karya artis hip-hop K.O.I, khususnya menerusi lagu terbaharunya, Tiwikarma yang memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-40 baru-baru ini.

Menurutnya, K.O.I didakwa seakan-akan menunggang gelombang aura misteri yang sering dikaitkan dengan ikon hip-hop tanah air, Malique, serta label Qarma Musiq.

Beliau turut mendakwa lagu Gong Nekara hasil karya Qarma Musiq. Sementara lagu Tiwikarma pula mempunyai vibe seperti Hikayat Ben Ladin.

Kritikan tersebut turut menyentuh aspek kualiti pembentukan lirik, di mana pengguna Threads itu tersebut mendakwa industri muzik arus perdana kini semakin ketara mengabaikan keaslian seni demi memuaskan selera pendengar yang disifatkannya sebagai ‘zombie otak kosong’.

 

View on Threads

 


Walau bagaimanapun, andaian tersebut terus ditepis secara santun tetapi tegas oleh penyanyi rap dan komposer terkenal, Kmy Kmo.

Menerusi akaun Threads @kmy__kmo, beliau menjernihkan kekeliruan berhubung pemilikan karya yang disebut.

Kmy Kmo menjelaskan bahawa lagu Gong Nekara bukanlah hasil terbitan Qarma Musiq mahupun ciptaan Malique seperti yang disangka, sebaliknya merupakan karya sepenuhnya ciptaan beliau bersama rakan komposer, Luca Sickta.

Mengulas isu dakwaan K.O.I meniru atau menunggang populariti pihak lain, Kmy Kmo menegaskan bahawa pertembungan gaya tersebut bukanlah satu tindakan meniru, sebaliknya merupakan pengkaryaan dalam sub-genre yang sama.

 

View on Threads

 

“K.O.I tidak tunggang Malique atau Qarma Musiq. Mereka cuma bawa elemen-elemen muzik yang sealiran sama seperti Malique, Altimet, Ahli Fikir, Mimifly, saya (Kmy Kmo) dan Luca Sickta.

“Rap yang ada sentuhan etnik tradisional/elemen Nusantara. Terbaik perkembangan industri muzik kita, penuh dgn lagu-lagu hebat,” jelas Kmy Kmo.

Penjelasannya tersebut telah mendapat pujian daripada warganet.

Dalam pada itu Kmy Kmo kongsikan berita baik di mana beliau akan mengeluarkan album ‘Gong’ pada hujung tahun ini nanti.

Sementara hantaran asal Threads itu tidak lagi boleh dibaca selepas pemilik akaun Threads tersebut telah mengunci akaun.