Malaysia sememangnya tidak pernah ketandusan bakat muda dalam sukan bola sepak dimana banyak kejohanan di peringkat akar umbi pelbagai usia yang dijalankan setiap tahun sekaligus memberikan medan buat pemain muda dalam negara beraksi.

Baru-baru ini, Malaysia sekali lagi menjadi sorotan selepas satu video yang menunjukkan pemain cilik mengambil sepakan percuma knuckleball ala-ala Cristiano Ronaldo mendapat liputan oleh salah satu media antarabangsa.

Baca Juga:

Laman Football Newz memuat naik satu video di laman Instagram mereka yang menunjukkan dua pemain cilik yang dikenali sebagai Howie dan Horace sedang berlatih mengambil sepakan percuma.

Video tersebut nyata mendapat sambutan hangat dimana rata-rata memberikan komen mereka kagum dengan kebolehan yang dimiliki oleh adik beradik kembar ini dalam mengambil sepakan penalti.

Pada 23 Jun lepas, Selangor menjemput dua pemain ini untuk merasai pengalaman berjumpa dengan pemain skuad Red Giant dan juga hadir ketika perlawanan Liga Super 2024/25 menentang Perak di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

“Selangor FC berbesar hati menyantuni dua beradik Ng Ho Wie dan Ng Ho Race yang tular di media sosial baru-baru ini kerana aktif bermain bola sepak untuk menikmati pengalaman istimewa bersama Gergasi Merah di Stadium MBPJ.

Semoga pengalaman ‘once in a lifetime’ ini dapat menggembirakan kedua-dua beradik ini serta dapat memberikan lebih dorongan buat mereka untuk terus bermain bola pada masa akan datang,” dipetik dari sosial media Selangor.