Pemain berdarah campuran, Kobe Chong dilaporkan berminat untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Kobe yang baru sahaja tiba di Kuala Lumpur bakal menjalani rundingan dengan beberapa kelab menjelang jendela perpindahan kedua liga pada Ogos ini.

Baca Juga:

Kobe tiba di Malaysia pada Isnin lalu dimana beliau memuat naik gambar di laman media sosial Instagram miliknya yang menunjukkan pemain itu berjalan di sekitar ibu kota sejurus tiba di negara ini.

Pemain yang memiliki kaitan dengan Malaysia melalui bapanya itu sudah lama memberikan isyarat yang menunjukkan beliau berminat untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa selepas rakyat negara ini mengetahui beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan Kobe Chong dan seorang lagi pemain iaitu Wan Kuzain hampir selesai dalam mendapatkan pasport Malaysia sekaligus dibenarkan beraksi bersama skuad kebangsaan.

Kini terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan staf kejurulatihan yang dipimpin oleh Kim Pan-gon bagi meyakinkan kedua pemain ini bagi menyarung jersi pasukan negara.

Wan Kuzain kini beraksi bersama kelab MLS Next Pro, St Louis City SC 2 pernah sertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 disebabkan oleh masalah dokumentasi.

Bagaimanapun, bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal memberikan isyarat bahawa anaknya bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya tidak lama lagi.

“Kuzain akan tiba tidak lama lagi,” dedah Wan Kamal kepada seorang peminat bernama Abrar Sadiq di laman Facebook.

Selain Kuzain, adiknya iaitu Wan Kuzri juga pernah menjalani latihan bersama skuad B-23 Tahun negara.