Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan mereka belum menerima sebarang jemputan untuk mengadakan perbincangan dengan Kobe Chong selepas pemain itu berada di Malaysia baru-baru ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung badan itu iaitu Datuk Noor Azman Rahman ketika sidang media memperkenalkan barisan pemain dan staf kejurulatihan skuad B-16 Tahun negara baru-baru ini.

Baca Juga:

“Setakat ini tiada, mereka belum menghubungi kami,” katanya.

Selepas beliau tiba di Malaysia, ramai yang mempersoalkan kemampuan Kobe sama ada beliau cukup bagus untuk menyarung jersi negara memandangkan pemain ini banyak beraksi di liga bawahan England.

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Kobe Chong menyatakan biarlah kualiti beliau yang membuktikan sama ada beliau layak ataupun tidak.

Dalam masa yang sama, pemain berusia 21 tahun ini menyatakan tujuan beliau datang ke Malaysia.

“Sebab saya berada di Malaysia adalah kerana saya mahu melawat saudara-mara dan rakan saya yang berada di sini selain turut melakukan rundingan dengan beberapa kelab Liga Super Malaysia.

“Saya juga mahu menikmati suasana Malaysia di Kuala Lumpur. Sudah ada beberapa kelab yang menghubungi saya, jadi saya akan berhubung kembali dengan mereka.

“Jika ada kesepakatan, saya mungkin kekal berada di sini tetapi buat masa ini, masih terlalu awal untuk memperkatakannya,” katanya.

Selain Kobe, seorang lagi pemain yang dicanang bakal menyarung jersi negara dalam masa terdekat ialah Wan Kuzain.

Wan Kuzain kini beraksi bersama kelab MLS Next Pro, St Louis City SC 2 pernah sertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 disebabkan oleh masalah dokumentasi.

Bagaimanapun, bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal memberikan isyarat bahawa anaknya bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya tidak lama lagi.