Kodak, sebuah nama yang dahulunya sinonim dengan dunia fotografi, mempunyai sejarah yang kaya dan penuh dengan inovasi, kejayaan yang luar biasa. Namun, era kegemilangnya tampak sudah menemui jalan buntu dan mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

Memetik laporan terkini CNN, syarikat fotografi terkenal, Eastman Kodak, yang berusia 133 tahun, telah mengeluarkan amaran serius kepada para pelabur bahawa mereka mungkin tidak akan dapat bertahan lama.

Kodak, Gergasi Fotografi 133 Tahun Mungkin Gulung Tikar
Sumber Gambar: Forbes

Syarikat itu kini berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal, termasuk kerugian besar dan kebimbangan tentang keupayaan untuk membayar hutang.

Dalam laporan pendapatan syarikat pada Isnin, Eastman Kodak memberi amaran bahawa mereka tidak mempunyai “pembiayaan komited atau kecairan yang tersedia” untuk membayar kira-kira $500 juta dalam obligasi hutang yang akan datang.

“Keadaan ini menimbulkan keraguan yang besar tentang keupayaan syarikat untuk meneruskan operasi sebagai perniagaan yang berterusan,” kata Kodak dalam satu pemfailan.

Ringkasnya, Kodak mengakui bahawa mereka mungkin tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung hutang jangka pendek mereka, yang meletakkan masa depan syarikat dalam keadaan bahaya.

Difahamkan mereka kini hanya memegang sejumlah $150 juta tunai di dalam tangan. Saham Eastman Kodak (KODK) menjunam lebih 25% dalam dagangan tengah hari pada hari Selasa lalu.

Walaupun begitu, syarikat ini yakin dapat menyelesaikan isu tersebut dengan menggunakan hasil daripada penamatan pelan persaraan pekerja untuk mengurangkan hutang, serta merancang untuk mengubah, melanjutkan atau membiayai semula baki hutang dan obligasi sahamnya.

Ini bukan kali pertama Kodak berhadapan dengan kebankrapan kerana syarikat itu pernah memfailkan kebankrapan pada tahun 2012 sebelum keluar pada tahun berikutnya selepas menjual beberapa aset dan menyusun semula perniagaan.

Walaupun telah mencuba untuk mempelbagaikan perniagaan, seperti ke dalam bidang percetakan komersial dan farmaseutikal, Kodak masih menghadapi cabaran besar dalam pasaran yang semakin kompetitif dan permintaan yang berubah-ubah.

Jika syarikat gergasi ini perlu menggulung tikar seperti yang dijangkakan, maka terkuburlah legasi selepas 133 tahun beroperasi  dan mencipta sejarah dalam dunia fotografi.