Suasana di Kompleks Sukan Tertutup bergema dengan sorakan apabila Kolej Meranti menjuarai perlawanan akhir Futsal Lelaki SUKOL UiTM Shah Alam 2025, menewaskan Kolej Delima dengan keputusan 5-0.

Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada acara tahunan SUKOL (Sukan Antara Kolej) yang melibatkan penyertaan daripada 5 kolej lelaki dan pasukan non – resident, yang mempamerkan bakat, kerjasama berpasukan, dan semangat kesukanan.

Baca Juga:

Kapten Kolej Meranti, Muhammad Faiz Hakimi, diberi penghargaan atas kepimpinan dan strategi permainannya yang cemerlang

“Kemenangan ini adalah hasil usaha gigih, disiplin, dan semangat kerjasama yang kuat. Kami berikan segalanya di gelanggang,” kata Muhammad Faiz Hakimi selepas perlawanan.

SUKOL Himpunkan Atlet Dari Kampus UiTM Shah Alam

Kejohanan yang bermula pada 12 Jun, menghimpunkan atlet dari seluruh kampus UiTM Shah Alam.

Kolej Meranti mengekalkan rekod tanpa kalah, menewaskan pasukan hebat seperti Kolej Perindu dan Kolej Non – Resident sebelum mara ke final.

Penyokong membanjiri tempat duduk untuk memberi sokongan kepada kolej masing-masing. Sorakan kuat kedengaran sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, menandakan kejuaraan futsal pertama dalam sejarah Kolej Meranti di SUKOL.

Penyelaras Sukan UiTM, Pn. Zahira Mohd Azlan, memuji prestasi para atlet:

“Para atlet lelaki ini telah menunjukkan bakat dan semangat kerjasama yang luar biasa. Kami bangga melihat tahap kecemerlangan sukan di peringkat kolej.”

Majlis Penutup SUKOL 2025 berlangsung pada 24 Jun 2025, dengan anugerah juara keseluruhan disampaikan kepada Kolej Meranti (Kategori Lelaki) atas pencapaian cemerlang dalam kejohanan ini.

TENTANG ACARA:

SUKOL (Sukan Antara Kolej) ialah kejohanan sukan tahunan antara kolej yang dianjurkan oleh UiTM Shah Alam, menghimpunkan ribuan atlet pelajar dalam pelbagai acara sukan termasuk futsal, olahraga, boling, e-sukan dan banyak lagi.