Sejak tarian di dalam acara pacu jalur menjadi trend di peringkat global, semakin banyak pula komen yang boleh dikira batu api oleh sebahagian pengguna yang cuba ‘claim’ sebagai warisan Malaysia di media sosial.
Keadaan ini beralutan sehingga ke hari ini yang mana membuatkan rakyat Malaysia sendiri tidak berpuas hati kerana kita bukanlah jenis yang suka mengakui budaya orang lain sesuka hati.
Namun, sebuah akaun di TikTok telah membongkar dalang di sebalik individu yang menyamar menerusi akaun-akaun palsu dalam menyebar kebencian terhadap Malaysia.
Hal ini kerana boleh dilihat menerusi pelbagai video berkaitan sukan itu, pasti terdapat sejumlah komentar dari akaun-akaun palsu yang mendakwa mereka dari Malaysia dan cuba mengadu domba serta ‘claim’ tradisi tersebut sebagai dari negara ini.
Susulan itu, berpusu-pusulah netizen Indonesia yang mereka cerita mendakwa rakyat Malaysia cuba mengejar populariti serta mengambil hak cipta kebudayaan negaranya.
Jadi, seorang pengguna dengan berbekalkan nama pengguna-pengguna TikTok tersebut, berjaya membongkar latar belakang serta maklumat terperinci individu yang terlibat di dalam komplot jahat ini.
Walaupun ramai mendakwa mereka berasal dari Malaysia, realitinya maklumat yang dilampirkan mendedahkan pengguna terbabit sebenarnya berasal dari Indonesia sendiri.


Difahamkan maklumat suspek diperolehi menerusi aplikasi chatbot yang direka oleh individu yang celik IT dan boleh diakses secara terus di Telegram.
Berdasar pencarian kami, anda boleh memasukkan frasa tiktokinfobot atau seumpamanya dan terdapat sejumlah versi yang boleh dipilih.
Perkara ini langsung dikongsikan semula melalui platform Threads dan majoriti pengguna Indonesia hanya mampu menggeleng kepala selepas mengetahui kebenaran itu.


Tidak sekadar itu, mereka juga risau bagaimana sentimen provokatif ini berjaya memperdaya ramai pengguna Indonesia dan berakhir dengan info hoax yang dijadikan sebagai hujah di media sosial.
Selain itu, ada yang malu selepas baru menyedari selama ini segala pertikaman lidah hanyalah di dalam kalangan mereka sahaja.