Isu kesihatan mental; dalam usaha mewujudkan kesedaran rakyat Malaysia, OHBULAN! dengan kerjasama Mental Illness Awareness and Support (MIASA) mengumumkan pelancaran Kempen Kesedaran Penyakit Mental, ‘Besties, Pape Roger’.

Kempen yang akan berlangsung selama satu bulan ini juga seiring dengan sambutan ‘Hari Kesihatan Mental Sedunia’ yang diadakan pada tanggal 10 Oktober setiap tahun.

Baca Juga:

Penyakit mental adalah satu isu yang semakin meruncing terutamanya selepas pandemik COVID-19 di Malaysia. Menurut data, individu yang mendapatkan sokongan melalui Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS), sebuah inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mencatatkan peningkatan lima kali ganda pada tahun 2022 berbanding dengan tahun 2020.

Selain itu, Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 menunjukkan bahawa satu dari tiga rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas menghadapi cabaran dalam kesihatan mental.

Kempen ‘Besties, Pape Roger’ Sedia Maklumat Mengenai Penyakit Mental

Dengan kerjasama erat bersama MIASA, kempen ini bertujuan untuk memberi maklumat yang tepat mengenai pengetahuan asas penyakit mental termasuk jenis-jenis, faktor risiko dan cara pengurusan yang berkesan.

Kempen ‘Besties, Pape Roger’ juga bertujuan memerangi stigma dan membongkar stereotaip untuk mencipta persekitaran yang lebih prihatin dan mempromosikan kesejahteraan holistik.

Anita Abu Bakar, Presiden dan Pengasas MIASA, berkata “Semua penyakit mental berpotensi untuk sembuh, namun mereka perlukan satu pendekatan menyeluruh dan rawatan secara konsisten dari masa ke semasa kerana simptom selalunya akan berulang. Oleh itu, setiap individu memerlukan jangka masayang berbeza-beza untuk sembuh.”

Noraniza Azmi, Ketua Kandungan, Rangkaian Bahasa Melayu di REV Media Group, berkata, “Isu kesihatan mental seakan-akan topik tabu dalam kalangan rakyat Malaysia dan rata-rata masih malu ataupun tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Oleh itu, inisiatif ini diharap dapat membantu individu yang mengalami penyakit mental untuk mencari jalan penyelesaian.

“Selain itu, kempen ‘Besties, Pape Roger’ juga mahu menggalakkan komuniti untuk memahami individu yang mengalami masalah kesihatan mental melalui kandungan yang lebih mesra audiens dan mudah difahami.”

Perkongsian Peribadi Selebriti

Mengaplikasi kekuatan OHBULAN! sebagai Laman Sosialtainment nombor satu di Malaysia, pihak editorial menemubual beberapa selebriti terkemuka tanah air untuk berkongsi pengalaman mereka menangani isu penyakit mental.

Azyan Shorlokman, Pengurus Kempen “Besties, Pape Roger” yang juga merupakan penulis kandungan di portal OHBULAN!, berkata, “Pihak editorial sangat berbesar hati apabila ramai selebriti dan juga pempengaruh terkenal tampil untuk berkongsi pengalaman peribadi mereka. Antaranya ialah Nadia Brian, Zynakal, Sharifah Sakinah, Shuhada Shukri, dan Ayu Hot FM.”

Selain daripada kandungan artikel, video dan media sosial khas untuk kempen, OHBULAN! menyediakan satu laman sesawang eksklusif berserta aplikasi yang membolehkan individu untuk meluahkan perasaan secara ‘rahsia’.

Menerusi platform tersebut, orang ramai dapat berkongsi kisah mereka tanpa rasa risau kerana tiada maklumat peribadi diperlukan. Layari www.ohbulan.com/BestiesPapeRoger untuk info lanjut.