Kerajaan bercadang untuk menguatkuasakan kadar maksimum kompaun baharu bagi kesalahan jalan raya daripada RM300 kepada RM500, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2029, petik Berita Harian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa langkah tersebut—yang selaras dengan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)—bukanlah bertujuan untuk membebankan rakyat atau menambah kantung pendapatan kerajaan, sebaliknya demi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang.

“Peningkatan daripada RM300 kepada RM500 tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik. Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, pindaan ini hanya menaikkan had maksimum tawaran kompaun.

“Kadar sebenar masih tertakluk kepada jenis, tahap keseriusan dan tempoh penyelesaian kompaun. Kesalahan sama, tetapi hukuman disemak semula supaya kekal relevan dan mempunyai kesan pencegahan lebih berkesan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Senarai Kesalahan Kompaun Maksimum Baharu

Beliau menambah, tempoh masa sebelum penguatkuasaan pada tahun 2029 itu sengaja diberikan sebagai tempoh peralihan dan kesedaran agar pengguna jalan raya dapat mengubah sikap menjadi lebih berhati-hati.

Antara Kesalahan Yang Terlibat Dengan Kadar Baharu:

– Memandu melebihi had laju.

– Gagal mematuhi arahan atau isyarat lalu lintas.

– Menggunakan kenderaan tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah.

– Memandu tanpa lesen memandu yang sah.

– Tidak memperagakan nombor pendaftaran dengan betul.

– Gagal menjalani pemeriksaan berkala bagi kenderaan tertentu.

Perang Terhadap Lumba Haram: Seksyen 42A Diperkenalkan

Dalam pindaan kali ini, kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap aktiviti lumba haram dengan memperkenalkan Seksyen 42A.

Melalui seksyen baharu ini, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terus terhadap aktiviti lumba haram atau menduga kelajuan tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan atau kehilangan nyawa.

Hukuman yang diperuntukkan adalah seperti berikut:

Kesalahan Pertama: Denda antara RM2,000 hingga RM10,000, atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan Kedua & Seterusnya: Denda antara RM5,000 hingga RM20,000, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Isu Cukai ‘Semenanjung vs Sabah/Sarawak’ Dikekang

Menyentuh mengenai pindaan Seksyen 16 dan 17, Anthony Loke menjelaskan tiada kenaikan kadar fi lesen kenderaan motor (roadtax) atau pengenalan fi baharu. Sebaliknya, ia dilakukan bagi memastikan fi LKM dikenakan berdasarkan kawasan penggunaan sebenar kenderaan.

Langkah ini diambil bagi menangani isu ketirisan hasil kerajaan apabila ada pemilik yang memperbaharui LKM di kawasan yang mempunyai kadar fi lebih rendah (seperti Sabah, Sarawak, Labuan, atau Pulau Langkawi), namun kenderaan tersebut digunakan secara tetap di Semenanjung.

“Jika sesebuah kenderaan digunakan secara tetap di Semenanjung, maka fi LKM hendaklah berdasarkan kadar Semenanjung. Kadar sedia ada di Sabah, Sarawak, Labuan, dan Pulau Langkawi kekal sama bagi kenderaan yang memang digunakan di wilayah terbabit. Ini lebih adil dan teratur,” jelas beliau.

Pendaftaran Kenderaan Elektrik (EV) & Pendigitalan JPJ

Pindaan Seksyen 10 pula dibuat bagi membolehkan semua kenderaan motor elektrik (EV) didaftarkan secara rasmi.

Memandangkan EV tidak mempunyai nombor enjin seperti kenderaan konvensional, undang-undang kini menetapkan EV wajib mempunyai nombor siri kenderaan motor elektrik dan nombor casis yang terang, jelas, serta tidak terusik.

Secara keseluruhannya, pindaan Akta 333 ini adalah langkah besar ke arah:

– Pendigitalan perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

– Penggunaan dokumen serta notis secara elektronik.

– Mengawal selia kenderaan khas, kenderaan diubah suai, kenderaan asing dan kenderaan rentas sempadan.