Dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Korea Masters 2023.

Tang Jie-Ee Wei yang kini berada di ranking ke-10 dunia itu berjaya menundukkan lawan dari Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min dengan kemenangan ‘straight set’.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Meskipun berdepan dengan lawan kurang ternama, pasangan Malaysia itu tidak diberikan laluan mudah pada kedua-dua set.

Hal ini kerana mereka mendapat tentangan sengit pasangan ranking ke-56 dunia itu sebelum mengesahkan kemenangan 21-19, 21-17.

Menanti mereka di separuh akhir esok merupakan juara dunia dan pilihan pertama kejohanan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan.

Sementara itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.

Tewas set pertama 16-21, pasangan kekasih itu bangkit memperkemaskan aksi untuk meraih kemenangan 22-20 bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Aksi yang cukup sengit turut ditampilkan kedua-dua pasangan itu pada set ketiga yang menyaksikan akhirnya Soon Huat dan Shevon keluar sebagai pemenang dengan keputusan 22-20.

Mereka akan berhadapan dengan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang menewaskan satu lagi pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-19, 21-9.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara akan turun beraksi selepas ini menerusi Soong Joo Ven, Leong Jun Hao dan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani.

Korea Masters 2023 yang berlangsung di Gwangju merupakan kejohanan berstatus Super 300.