Hari ini Tabung Haji (TH) mengumumkan kos untuk menunaikan ibadah haji bagi tahun 2025 mengikut beberapa kategori.

Seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000 bagi kumpulan B40, RM23,500 (kumpulan M40), sementara kumpulan T20 perlu membuat bayaran penuh sebanyak RM33,300.

Baca Juga:

Kumpulan B40 dan M40 naik sebanyak 20 peratus berikutan peningkatan beberapa kos di Tanah Suci, petik Berita Harian.

Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman.

Menurutnya,  kos haji bagi musim 1446H/2025M dikekalkan sebagaimana tahun lalu iaitu RM33,300 bagi seorang jemaah.

Menurutnya lagi, TH mengambil pelbagai langkah untuk mengekang kenaikan kos, termasuklah dengan mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan.

“TH dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji tahun ini di mana ia masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah Muassasah.

“Bagi mengawal kos, TH berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak meningkat,” katanya.

Sementara bagi kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci pula merangkumi 87 peratus daripada kos keseluruhan. Kos-kos tersebut adalah di luar kawalan TH.