Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyatakan kos kerajaan perlu berbelanja untuk hapuskan tol di seluruh Malaysia menghampiri RM400 bilion.

Menerusi rakaman persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau juga menyatakan kerajaan perlu menanggung kira-kira RM435 juta disebabkan penangguhan kenaikan tol pada tahun lalu.

Baca Juga:

“Pada tahun 2022, saja, kita melibatkan anggaran kira-kira RM435 juta kita menanggung kenaikan kos disebabkan penangguhan kenaikan tol.

“Untuk penstrukturan semula kadar tol perjanjian konsesi ini, rundingan adalah bergantung kepada dua pihak sama ada dari konsesi itu sendiri dengan pihak kerajaan dan akan diluluskan semestinya dari Kementerian Kewangan.

“Ini perlu kajian secara menyeluruh. Kalau keseluruhan tol dalam negara nak dihapuskan, ia melibatkan hampir RM400 bilion kalau nak hapuskan tol ini dan penggantian kepada kos tersebut,” terang Datuk Seri Abdul Rahman.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan kerana telah memberi dua hari tol percuma bermula 11 November (Sabtu) jam 12.01 pagi sehingga 12 November (Ahad) jam 11.59 malam sempena sambutan perayaan Deepavali pada hujung minggu lalu yang melibatkan kos sebanyak RM30 juta.

Beliau berkongsikan angka itu di Dewan Rakyat pada Khamis, selepas disoal oleh YB Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas) yang bertanya kos ditanggung kerajaan bagi tol percuma itu dan usaha kerajaan dalam hapuskan tol di seluruh Malaysia.