Bayangkan anda sedang asyik menatal skrin telefon pada hujung tahun, tiba-tiba muncul satu siaran langsung di TikTok yang mempromosikan buah mangga dengan laungan penuh yakin bahawa ia adalah Harumanis dari Perlis.
Bagi peminat tegar raja mangga ini, tawaran sedemikian pasti terasa seperti durian runtuh kerana menyangka dapat menikmati buah premium itu di luar musim.
Namun, hakikatnya tidak seindah yang dipromosikan. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis tampil memberi amaran keras kepada golongan peniaga agar tidak mengelirukan pengguna dengan menjual mangga import dari Indonesia menggunakan nama Harumanis Perlis.
Menurut laporan Harian Metro, Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan, taktik tidak bertanggungjawab itu dikesan mula berleluasa sejak Oktober lalu menerusi sesi jualan secara langsung di platform media sosial seperti TikTok.
Setakat ini, pihak FAMA telah menerima empat aduan rasmi berhubung penyalahgunaan nama ikon negeri Perlis itu, melibatkan tiga aduan daripada pengguna media sosial dan satu lagi daripada Persatuan Harumanis Perlis.
Serbuan Di Bandar Baru Bangi Bongkar Taktik Kotak Berbeza
Tidak sekadar memandang sepi isu tersebut, pihak berkuasa segera bertindak menjejaki penjual yang cuba mengaut keuntungan atas angin dengan menggunakan reputasi produk tempatan.
“Susulan aduan jualan dalam talian itu, FAMA Perlis bekerjasama dengan Bahagian Regulasi Pasaran FAMA ibu pejabat dan Selangor menyerbu sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 6 November lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, syarikat itu memasarkan mangga import dari Indonesia menggunakan nama ‘Harumanis dari Perlis’ ketika siaran langsung TikTok sedangkan kotak produk itu jelas dilabel sebagai mangga alpukat Indonesia,” katanya pada sidang media.
Dalam serbuan berkenaan, wakil syarikat terbabit gagal mengemukakan sebarang bukti kukuh bahawa buah yang dijual itu merupakan varieti Harumanis.
Susulan kegagalan tersebut, FAMA telah mengeluarkan Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) terhadap syarikat berkenaan.
Selain itu, pihak syarikat turut diarahkan untuk menurunkan segera hantaran media sosial yang berkaitan dengan Harumanis serta menggunakan nama produk sebenar selaras dengan dokumen import dan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) 2008.
Lebih 120 Pemeriksaan Dijalankan, Termasuk Kes ‘Harumanis Surabaya’
Pemantauan rapi bukan sahaja tertumpu kepada jualan dalam talian, malah pemeriksaan fizikal di lapangan turut dipergiat bagi memastikan tiada kekeliruan berterusan dalam kalangan pembeli.
“Di peringkat Perlis kita sudah melaksanakan lebih 120 kali pemeriksaan premis sepanjang tahun ini dan turut mengesan penggunaan nama kurang tepat seperti ‘Harumanis Surabaya.’
“Buat masa ini kita mengambil pendekatan advokasi serta memberi teguran menerusi KPP dan rata-rata peniaga akur menukar label. Namun, tindakan undang-undang tegas akan diambil sekiranya mereka mengulangi kesalahan sama,” jelasnya lagi.
Kenali Beza Musim Harumanis Perlis Dengan Arumanis Indonesia
Sebagai pengguna yang bijak, cara paling mudah untuk mengelak daripada terperangkap dengan taktik pemasaran sebegini adalah dengan mengetahui kalendar musim buah tersebut. Kedua-dua varieti ini mempunyai tempoh pengeluaran yang sangat berbeza.
Harumanis Perlis yang telah berdaftar secara rasmi di bawah Petunjuk Geografi (GI) hanya mengeluarkan hasil utama sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun.
“Sebaliknya, musim pengeluaran mangga Arumanis (tanpa huruf H) dan mangga alpukat dari Indonesia adalah sekitar Julai hingga November.
Justeru, ada peniaga cuba mengambil kesempatan menggunakan nama Harumanis Perlis di luar musim untuk melariskan jualan,” terang Mohd Anzara.
Perbezaan satu huruf pada ejaan antara Harumanis dan Arumanis sering kali menjadi modal untuk mengelirukan pembeli yang kurang peka, apatah lagi apabila dipromosikan secara pantas di hadapan kamera telefon.
FAMA Tidak Halang Buah Import, Asalkan Label Jujur
Dalam pada itu, FAMA menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini bukanlah bertujuan untuk menyekat rezeki mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan buah-buahan luar negara secara sah.
“FAMA tidak menghalang perdagangan buah import yang sah, tetapi peniaga wajib melabelkan identiti produk, gred dan negara asal dengan tepat seperti ‘Mangga Arumanis Indonesia’ atau ‘Mangga Alpukat Indonesia’ bagi melindungi hak pengguna serta pengusaha tempatan,” katanya.
Kejujuran dalam berniaga bukan sahaja menyelamatkan peniaga daripada berdepan tindakan undang-undang, malah membina kepercayaan jangka panjang dengan pelanggan.
Bagi orang ramai pula, pastikan anda menyemak label asal dan musim pengeluaran sebelum menekan butang pembelian, supaya wang yang dibelanjakan berbaloi dengan rasa buah yang sebenar.