Tindakan premis popia terkenal di Melaka yang meletakkan makanan atas lantai akhirnya menerima padah selepas diarahkan tutup operasi serta-merta selama 14 hari bermula semalam.

Menurut laporan Berita Harian, lokasi penyediaan makanan didapati sangat kotor apabila terdapat najis tikus dan terletak di sebelah tong sampah.

Baca Juga:

Tindakan penutupan itu dibuat selepas anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mendapati premis berkenaan tidak mengambil berat terhadap tahap kebersihan.

Selain keadaan dapur yang kotor, bahan mentah untuk membuat makanan terbabit dibiarkan terdedah dan berselerak.

“Premis itu diarahkan tutup selama 14 hari susulan pemeriksaan mendapati keadaan tidak suci apabila makanan disediakan diletakkan atas lantai dan bahan mentah pula diletakkan bersebelahan tong sampah.

“Selain itu, tauhu basah diletakkan atas lantai dan tempat membungkus popia berselerak di sekitar dapur serta bercampur bahan yang boleh menyebabkan pencemaran kepada makanan.

“Pemeriksaan kami juga mendapati semua pekerja tidak memakai apron ketika mengendali makanan, selain pekerja wanita memakai perhiasan diri yang sangat ketara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Lima notis dengan nilai RM1,600 dikeluarkan JKN kepada pemilik premis terbabit.

“Kedai popia itu antara 24 premis menjual makanan di daerah Melaka Tengah diperiksa, namun hanya tiga yang diarahkan tutup bagi membolehkan kerja pembersihan dibuat.

“Selain premis popia itu, terdapat dua lagi diarahkan tutup kerana tahap kebersihan tidak memuaskan adalah gerai jualan sarapan pagi. Tindakan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.