Salah seorang pemain pertahanan Belanda yang beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menyuarakan minat untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia.
Dalam satu temu bual bersama media Belanda, pemain yang dimaksudka ialah Joël Veltman dimana pemain itu menegaskan sekiranya boleh menukar warganegara, beliau mahu beraksi bersama skuad Garuda.
Veltman Serius Mahu Beraksi Bersama Indonesia
“Saya tidak pernah memberikan perhatian mengenai perkara ini. Jika itu boleh, saya tidak akan menolaknya. Mungkin sudah saatnya saya menjadikan perkara itu sebagai satu realiti.
“Sudah tentu, sebilangan besar pemain Belanda yang lain telah pergi dan beraksi bersama Indonesia. Pemain seperti Kevin Diks, Eliano Reijnders dan lain-lain.
“Satu perkara yang pasti, anda perlu berurusan dengan peraturan. Saya fikir ia seperti ini: anda boleh bertukar warganegara jika anda tidak bermain sebarang perlawanan antarabangsa selama dua tahun. Saya terbuka kepadanya, saya ingin bermain untuk Indonesia. Saya maksudkan itu dengan serius,” kata Veltman.

Pemain berusia 33 tahun ini mempunyai 28 penampilan dan dua jaringan bersama skuad kebangsaan Belanda dimana kali terakhir beliau berseragam Oranje ialah pada tahun 2021 ketika temasya UEFA Euro.
Veltman yang kini beraksi bersama Brighton & Hove Albion menegaskan beliau sudah menerima hakikat tidak lagi diperlukan oleh pasukan negaranya dan terbukan untuk beraksi bersama negara kelahiran neneknya.
Veltman Ikuti Perkembangan Indonesia
“Saya mengikuti perkembangan mereka. Patrick Kluivert kini ada di sana. Saya baru-baru ini bercakap dengan Kaoru Mitoma, yang bermain dengan Jepun menentang mereka dalam siri kelayakan. Dia sangat memuji skuad Garuda. Indonesia ada dalam darah saya, ia akan membuatkan saya bangga bermain untuk mereka.
“Adakah saya terkejut kerana saya tidak dipanggil oleh Belanda? Jika saya bermain seperti ketika berusia 25 tahun, maka ya. Tetapi saya sekarang 33 tahun.
“Ada ramai lagi pemain pertahanan yang boleh beraksi bersama skuad kebangsaan. Mereka juga bermain di peringkat teratas. Saya menerima hakikat itu,” tambahnya.
Pada penghujung 2013, Veltman membuat penampilan sulung untuk Oranje di bawah jurulatih kebangsaan ketika itu Louis van Gaal. Selain itu, Veltman juga pernah beraksi di bawah pengurus seperti Guus Hiddink, Danny Blind, Fred Grim, Dick Advocaat, Ronald Koeman dan Frank de Boer.
Selain UEFA Euro 2020, pemain itu juga beraksi dalam temasya Piala Dunia 2014 yang menyaksikan Belanda menamatkan kejohanan di tangga ketiga.