Kesilapan dalam penggunaan bendera Malaysia, atau lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang, kian berleluasa kebelakangan ini seolah-olah nilai dan simbolik yang terkandung di sebalik lambang kebangsaan itu semakin dipandang ringan.
Terbaharu paparan bendera Malaysia dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hari ini juga turut menyaksikan kecuaian pihak terlibat.
Baca Juga:
- Pelajar Kena Pakai Lencana Jalur Gemilang Mulai April, Ini Caranya
- Bahana ‘Persenda’ Jalur Gemilang, Netizen Malaysia Serang Akaun IG Pemain E-Sport Amerika Syarikat
- Dikesan Menggunting Dan Rosakkan Jalur Gemilang, Tindakan Lelaki Ini Undang Kemarahan Netizen
Keadaan tersebut sekali gus mencetuskan kekesalan dalam kalangan masyarakat yang peka terhadap martabat simbol negara.
Susulan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil dengan permohonan maaf berhubung kecuaian yang tidak seharusnya berlaku tersebut.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang diedarkan hari ini.”
“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.”
“Tindakan tegas dan serta merta telah diambil ke atas semua yang terlibat. Siasatan terperinci juga sedang dilaksana.”
“Laporan analisis yang dicetak telah diminta untuk dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan,” ujar KPM dalam satu kenyataan rasmi dilaporkan oleh Bernama TV.
Insiden ini bukanlah yang pertama berlaku, malah sebelum ini negara turut digemparkan dengan beberapa kes pemaparan bendera Malaysia yang salah sama ada dari segi susunan jalur, jumlah bintang mahupun penggunaan warna yang tidak tepat.
Kesilapan seperti ini bukan sahaja mencerminkan kelalaian dalam aspek penyemakan dan pengesahan akhir, malah turut memberi gambaran seolah-olah tidak wujudnya sensitiviti terhadap lambang kenegaraan yang sepatutnya dijulang dengan penuh rasa bangga dan hormat.