Selat Hormuz merupakan sebuah laluan air sempit yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab. Walaupun lebarnya hanya sekitar 33 kilometer pada titik paling sempit, ia diiktiraf sebagai laluan transit minyak (chokepoint) paling kritikal di dunia.
Secara purata, sekitar 20 juta tong minyak sehari melalui selat ini mewakili kira-kira 20% hingga 30% daripada jumlah penggunaan petroleum global.

Ancaman sekatan di Selat Hormuz serta penggantungan operasi Gas Asli Cecair (LNG) oleh Qatar baru-baru ini telah meletakkan rantaian bekalan tenaga rantau Asia dalam risiko yang sangat kritikal. Berikutan insiden ini, kira-kira 20% eksport LNG global dari Teluk Parsi kini terjejas.
Walaupun Malaysia dijangka menerima kelebihan ekonomi sebagai sebuah negara pengeksport tenaga, majoriti negara Asia yang lain bakal berdepan dengan cabaran inflasi kos dan kekurangan bekalan yang serius.
Asia Selatan
Bagi rantau Asia Selatan, impaknya adalah serta-merta dan sangat meruncing. Negara seperti Pakistan dan Bangladesh amat terdedah kepada krisis ini kerana mereka bergantung kepada Qatar dan UAE untuk hampir keseluruhan import LNG mereka.
Kekurangan kapasiti penyimpanan bermakna sebarang gangguan bekalan akan melumpuhkan sektor penjanaan elektrik mereka dengan cepat.
India pula bakal berdepan dengan kejutan berganda dari sudut fizikal dan kewangan, memandangkan mereka mengimport lebih separuh daripada keperluan LNG dan 60% bekalan minyak dari Timur Tengah.
China
Sementara China merupakan pengimport minyak mentah terbesar di dunia dengan pendedahan risiko yang tinggi, mereka mempunyai tahap ketahanan yang lebih baik.
Rizab simpanan LNG dan minyak strategik yang besar bertindak sebagai penampan (buffer) yang membolehkan China bertahan untuk jangka masa pendek.
Namun begitu, jika krisis ini berpanjangan, China terpaksa bersaing untuk mendapatkan bekalan dari rantau lain, sekali gus melonjakkan persaingan harga di pasaran Asia.
Jepun dan Korea Selatan
Di Asia Timur, Jepun dan Korea Selatan berdepan dengan ancaman kejutan harga yang teruk. Kedua-dua negara ini sangat bergantung kepada minyak Timur Tengah, masing-masing pada kadar 75% dan 70%.
Walaupun kebergantungan mereka terhadap LNG dari Teluk Parsi agak rendah, rizab simpanan domestik mereka hanya mampu bertahan untuk tempoh kritikal sekitar dua hingga empat minggu sahaja.
Sementara itu, bagi sebahagian besar rantau Asia Tenggara, krisis ini akan diterjemahkan dalam bentuk inflasi kos berbanding keputusan bekalan fizikal.
Thailand
Thailand dikenal pasti sebagai negara yang paling rugi dalam senario ini berikutan kadar import minyak bersihnya yang tertinggi di Asia.
Sebarang peningkatan harga minyak global akan memberi tamparan hebat dan segera terhadap imbangan akaun semasa dan pertumbuhan ekonomi negara tersebut.