Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa Stesen Kuala Lumpur dan Stesen Subang Jaya akan mula beroperasi sebagai hab baharu bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) berkuat kuasa 1 Januari 2027.

Pelaksanaan inisiatif ini melibatkan penyelarasan jadual perjalanan serta pengenalan beberapa perkhidmatan tren yang bermula dan berakhir secara khusus di kedua-dua stesen berkenaan:

Stesen Kuala Lumpur:

i. Sektor Utara: Sebanyak dua perkhidmatan dari selatan akan tamat di stesen ini (tren EP9526 dan EP9574), manakala empat perkhidmatan disediakan untuk pelepasan dari stesen ini menuju ke utara (tren EG9074, EG9050, EG9078, dan EP9276).

ii. Sektor Selatan: Sebanyak empat perkhidmatan dari utara akan tamat di stesen ini (tren EG9073, EG9049, EG9077, dan EP9275), manakala dua perkhidmatan disediakan bagi pelepasan menuju ke selatan (tren EP9533 dan EP9577).

iii. Stesen ini turut menyediakan integrasi transit bersama perkhidmatan rel Rapid KL melalui LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang di Pasar Seni.

Stesen Subang Jaya:

i. Sektor Utara: Menawarkan satu perkhidmatan dari selatan yang tamat di Subang Jaya (tren EG9562) serta satu perkhidmatan pelepasan terus ke utara (tren EP9120).

ii. Sektor Selatan: Menawarkan satu perkhidmatan dari utara yang tamat di Subang Jaya (tren EP9135) serta satu perkhidmatan pelepasan terus ke selatan (tren EG9555).

iii. Pengguna di stesen ini mempunyai akses sambungan ke LRT Laluan Kelana Jaya serta capaian sejauh 4.2 km ke LRT Laluan Shah Alam (Glenmarie 2).

Kedua-dua stesen dilengkapi kemudahan awam asas seperti surau, tandas, restoran, kedai serbaneka, tempat letak kenderaan, dan kawasan mengambil penumpang kenderaan e-panggilan (e-hailing).

Sehubungan itu, KTMB menasihatkan para pengguna agar merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual waktu terkini, nombor tren, serta stesen permulaan dan destinasi akhir melalui saluran rasmi atau laman sesawang KTMB sebelum memulakan perjalanan.

Sumber