Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan bahawa penganjur acara parti Pinkfish Festival telah mematuhi syarat sewaan ketika menganjurkan parti dalam gerabak KTM.
KTMB turut menyatakan bahawa mereka akan mempertingkat lagi serta menambah baik garis panduan sewaan tren khas atau Charter Train.
Ini berikutan kontroversi yang melanda baru baru ini apabila tren KTM disewa untuk menganjurkan acara parti Pinkfish Festival yang membuatkan KTMB mulai menjadi subjek kritikan.
KTMB menerima banyak kritikan kerana dianggap telah memberikan kebenaran untuk penganjur acara yang tidak selari dengan prinsip Malaysia Madani.
KTMB bagaimanapum menyatakan bahawa pihak penganjur parti tersebut telah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KTMB berdasarkan syarat sewaan tren khas.
Dipetik daripada Harian Metro, KTMB berkata: “KTMB telah menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia telah dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami.”
KTMB kemudian menegaskan bahawa sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyediakan tren dan Koc mengikut permintaan dan aktiviti pelanggan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
KTMB menambah, perkhidmatan Charter Train tersebut sudah diperkenalkan sejak 2021 kepada pihak atau indivifu yang berminat membuat sewaan khas.
Menurut KTMB lagi, perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ramai pihak termasuk kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan.
Namun begitu KTMB akan berusaha menambah baik prosedur dan garis panduan Charter Train selepas ini. Ini untuk memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik yang memuaskan hati pelanggan mereka demi kepentingan awam dan syarikat itu sendiri.