Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelapan daripada 49 bandar utama dunia untuk didiami warga asing bertaraf nilai tinggi atau ekspatriat.

Memetik Sinar Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghebahkan data itu yang dikeluarkan oleh Expat City ranking 2023.

Katanya, antara tarikan utama bagi ekspatriat ialah kos sara hidup secara relatifnya adalah rendah untuk mereka, di samping kestabilan politik di sini juga.

Selain itu, mereka melihat kerancakan ekonomi yang ditampilkan pada saban hari.

Di samping kemahiran yang setara dalam kalangan rakan sekerja tempatan, para ekspatriat turut selesa berkomunikasi dengan rakyat Malaysia kerana pengguasaan bahasa Inggeris yang baik sekaligus mendorong kepada nombor ranking  negara di dalam carta tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tentang jumlah dan peratusan ekspatriat yang berhijrah ke Malaysia mengikut pecahan negara dan nilai sumbangan ekonomi mereka sejak dari tahun 2019 hingga 2023.

Tambah Saifuddin, sehingga 31 Oktober, terdapat 120,183 pegawai ekspatriat dengan lima negara tertinggi, melibatkan semua kategori termasuk bidang perkhidmatan dan teknologi maklumat.

“Ekspatriat dari China berjumlah 27,460 orang, diikuti India (23,131), Filipina (9,302), Jepun (8,739), Indonesia (8,333), merangkumi 64 peratus daripada keseluruhan ekspatriat.

“Selebihnya iaitu lain-lain negara adalah 36 peratus daripada 120,183 orang,” jelasnya.

Selain itu, terdapat tiga pecahan kategori pegawai ekspatriat atau pegawai dagang yang disusun mengikut kategori tangga gaji, iaitu pertama RM10,000 ke atas, kedua gaji RM5,000 hingga RM9,999 ke atas.

Ketiga ialah kelompok gaji RM3,000 hingga RM4,999, yang mana julat gaji yang diklasifikasikan sebagai pegawai ekspatriat berdasarkan pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen.

“Impak ekonomi pula, secara langsung atau tidak langsung mereka membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, tinggal di sini, anak mereka bersekolah, melancong, perbelanjaan domestik, bayar bil utiliti dan melabur.

“Jadi, kayu ukurnya ada dua. Pertama, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganggarkan sumbangan impak ekonomi keberadaan pegawai ekspatriat di negara kita ialah RM75 bilion, menyamai 4.8 peratus daripada keseluruhan KDNK Negara.

“Kayu ukur yang kedua adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mengumpul sehingga RM100 juta cukai pendapatan daripada kelompok ini,” katanya.