Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram, serta lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Tinggi.
Memetik Berita Harian, Rosmah dalam permohonannya sebelum ini berhujah, kualiti hidupnya terjejas akibat ketidakadilan prosedur dalam kes itu.
Baca Juga:
- Rosmah Mansor Anggap Iz Emir Bukti Kejayaan Program Permata Pintar Kendaliannya
- Rosmah Didapati Bersalah Atas Tiga Pertuduhan Terima Dan Minta Rasuah
- Rosmah Mansor Ditahan SPRM Dan Bakal Didakwa Esok
Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagiannya kes ini didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan semua tuduhan adalah sah di sisi undang-undang dan mengandungi maklumat mencukupi untuk memaklumkan tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa, sekali gus membolehkan beliau menyediakan pembelaan yang sewajarnya.
Rosmah menghadapi 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.