Untuk mendapatkan tidur berkualiti, kita sememangnya perlu persekitaran yang gelap. Walaupun kita sudah bergelap di dalam rumah, kadang-kala pencemaran cahaya di luar juga boleh mengganggu suasana di ruangan tidur anda.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook bernama Dennis Tan, dia meluahkan rasa tidak selesa apabila cahaya lampu papan iklan milik sebuah syarikat insurans di Johor Bahru terlalu terang hingga menganggu tidurnya.

Dia mendedahkan tinggal berhampiran Pusat Beli Belah Mid Valley South Key, Johor Bharu. Difahamkan, cahaya lampu berwarna merah itu dipancarkan daripada pusat beli belah berkenaan.

“Helo AIA Midvalley Johor Bahru, papan tanda anda terlalu terang. Sangat menganggu,” tulisnya menerusi hantaran itu.

Malah, Dennis turut memuat naik beberapa gambar sebagai bukti cahaya lampu milik syarikat berkenaan terlalu terang hingga menembusi ke bilik tidurnya walaupun sudah ditutup dengan tirai (blind curtain).

Sumber Gambar: FB Denis Tan
Sumber Gambar: FB Denis Tan
Sumber Gambar: FB Denis Tan

Hantaran lelaki itu ternyata menarik perhatian warganet. Rata-rata simpati dengan nasib yang menimpa pemuda berkenaan.

Memindai ke ruangan komentar, ada penduduk setempat lain yang turut terkesan dengan pancaran cahaya itu malah sebahagian lain meminta Dennis agar membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Malah, ramai menggelarnya sebagai ‘Mata Sauron’ kerana mirip seperti karakter di dalam filem Lord Of The Rings.

Walau bagaimanapun, syarikat insurans berkenaan tidak lagi memasang lampu terbabit selepas hantaran Dennis menjadi tular dalam tempoh 24 jam.

Menurut Dennis melalui hantaran terbaharu di akaun Facebook miliknya, dia mengucapkan terima kasih kepada syarikat AIA Malaysia dan MBJB atas respon pantas yang diberikan.

Bahkan, dia juga sempat menzahirkan ucapan tersebut kepada pengguna-pengguna Facebook yang lain kerana membantu dirinya menyelesaikan masalah tersebut.

“Kuasa Facebook, hantaran tular dalam tempoh 24 jam. Buat masa ini mereka (AIA Malaysia) menutupnya buat sementara waktu.

“Terima kasih AIA Malaysia untuk respon pantas. Harapnya papan tanda anda selepas ini datang dengan cahaya lampu yang lebih selesa dan terima kasih MBJB untuk respon.

“Saya boleh tidur dengan aman dan bahagia,” tulis Dennis.

Sumber Gambar: Dennis Tan

Susulan hantaran terkininya, ramai meluahkan rasa lega kerana tindakan kedua-dua pihak berjaya menyelesaikan isu tersebut dalam masa singkat.

 

Sumber