Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail mendedahkan ada pemilik syarikat sanggup berkahwin empat untuk menubuhkan kartel syarikat bagi menguasai tender kerajaan.

Menurutnya, modus operandi itu dikesan MyCC dalam siasatan terhadap kegiatan tipuan bida yang melibatkan 500 syarikat dipercayai terbabit dalam kegiatan tipuan bida projek, salah satu bentuk kartel menyebabkan kerugian terhadap dana kerajaan.

Baca Juga:

Tambahnya lagi, syarikat terbabit berkomplot dengan memasuki tender projek sama dan menentukan pemenang berdasarkan harga telah ditetapkan.

“Macam-macam mereka buat, ada yang kahwin empat supaya boleh bina empayar syarikat. Contohnya, syarikat ‘A’ bapa mertua isteri nombor satu pegang, manakala syarikat ‘B’ dipegang oleh bapa mertua isteri nombor dua dan begitulah seterusnya.

“Mereka boleh cipta satu empayar 50 syarikat masuk sekali (tender), jadi mereka monopoli tender yang sepatutnya dibuat untuk mendapat syarikat menawarkan perkhidmatan berkualiti pada harga terbaik.

“Tetapi mereka buat satu ilusi bahawa itu yang terbaik, bila menang mereka sub kepada orang lain,” katanya dalam temu bual dengan Astro Awani.

Iskandar menyatakan oleh kerana mereka mengisi borang bersama-sama, jika terdapat kesalahan di dalam surat, pasti kesemua borang miliki kesalahan sama kerana menggunakan pencetak yang sama.

“Jadi mereka ini akan ‘menentukan’ siapa pemenangnya (dengan berpakat harga tender) dan seterusnya mengagihkan sesama sendiri seolah-olah tender kerajaan itu ‘harta’ mereka,” terangnya lagi.

Ismail berkata MyCC pada masa ini juga memfokuskan kepada komplot bidang makanan dan pertanian yang dapat dilihat menerusi denda berjumlah RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk ‘kartel makanan ayam’ untuk menetapkan harga.

Memetik kenyataan Ismail lagi, pihaknya merancang menambah 60 pegawai penyiasat pada tahun depan menerusi peruntukan RM10 juta di bawah Belanjawan 2024.

“Ketika ini hanya ada 17 pegawai penyiasat sahaja yang tidak mampu untuk ke pelbagai lapangan untuk siasatan.

“Fungsi dan peranan MyCC untuk menangani kartel perlu diperhebatkan tahun depan apabila kerajaan laksana kaedah subsidi bersasar,” katanya.