Seperti ramai sedia maklum, Malaysia dan juga negara lain telah menghadapi peningkatan inflasi yang dasyat sejak sedekad akhir ini. Malah peningkatan inflasi ini jauh lebih ketara jika dibandingkan sekitar 20 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, lain ceritanya buat seorang peniaga di Felda Lubuk Merbau ini apabila dilaporkan masih lagi menawarkan kuih pada harga 10 sen sebiji.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hadir dengan nama Gerai Cucoq Sekupang, gerai yang diusahakan oleh Roslina Saad berusia 54 tahun ini menawarkan 15 jenis kuih antaranya karipap, buah melaka, ke­tayap dan lopes.

Menurut Roslina, harga kuih 10 sen sebiji itu kekal sejak dia mula berniaga lebih 20 tahun lalu.

“Saya tidak nafikan kos bahan mentah meningkat dan boleh dikatakan terlalu tinggi, tetapi saya tetap kekalkan harga kerana mahu bantu orang ramai.

“Sebenarnya apabila kita buat kuih dalam kuantiti yang banyak, kita masih mampu meraih untung dan menggaji pekerja,” katanya di sini semalam.

Katanya, dengan harga tersebut, pelanggannya terutama yang kurang berkemampuan dapat merasai aneka kuih pada harga RM1.

“Kalau beli kuih RM1, pelanggan sudah boleh dapat 10 biji kuih yang boleh dicampur,” ujarnya.

Lebih membanggakan, difahamkan kuih yang dijualnya berjaya terjual dalam tempoh kurang dari dua jam meskipun sebanyak 5,000 kuih ditawarkan setiap hari.

Didoakan semoga gerai ini terus dilimpahkan dengan para pelanggan yang secara tidak langsung membolehkan wanita ini terus melakukan amal jariah buat penduduk setempat.

Sumber